Ibu kepada Ismail dan Farida, Sura Boro, 60, menyiram air mawar di kubur anak dan cucunya. FOTO Abdul Rahemang Taiming
Ibu kepada Ismail dan Farida, Sura Boro, 60, menyiram air mawar di kubur anak dan cucunya. FOTO Abdul Rahemang Taiming
Junaidi Ladjana


Tawau: Suasana pilu menyelubungi kediaman empat sekeluarga di Kampung Wakuba, Batu 16, Jalan Apas, di sini, yang maut dalam kemalangan di Kilometer 32, Jalan Lahad Datu, dekat sini, malam semalam.

Jenazah Ismail Mangu, 25, dua anaknya, Sharil, 5, dan Putri, 2, serta kakak Ismail, Farida Perada, 35, selamat dikebumikan dalam satu liang lahad di Tanah Perkuburan Islam Kampung Wakuba, Batu 16, Jalan Apas, di sini, jam 8.10 malam tadi.

Terdahulu, jenazah tiba di kediaman ibu bapa mereka di Kampung Wakuba jam 12.10 tengah hari tadi selepas bedah siasat dijalankan di Hospital Lahad Datu.

Dalam kejadian jam 10 malam itu, enam maut termasuk empat sekeluarga selepas Proton Saga BLM dinaiki mereka terbabas dan melintang di laluan bertentangan selepas melalui satu selekoh tajam.

Pada masa sama, kenderaan pacuan empat roda Isuzu D Max dari arah bertentangan gagal mengelak lalu merempuh kereta itu mengakibatkan pemandu dan semua penumpangnya meninggal dunia di tempat kejadian.

Dua lagi mangsa yang maut ialah Said Tuan Kamba, 28, dan penumpang, Markus Mae Siku, 52, manakala pemandu Isuzu D Max berusia 53 tahun dilaporkan parah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 April 2017 @ 9:21 PM