Kenderaan mangsa tercampak ke dalam semak di Kilometer 40 Jalan Keningau-Sook. FOTO ihsan polis
Kenderaan mangsa tercampak ke dalam semak di Kilometer 40 Jalan Keningau-Sook. FOTO ihsan polis
Junaidi Ladjana


Keningau: Seorang lelaki maut manakala adik dan sepupunya cedera ringan selepas pacuan empat roda dinaiki mereka terbabas dan melanggar tiang elektrik di Kilometer 40 Jalan Keningau-Sook, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian 3.30 pagi itu, pemandu Isuzu D Max, Jeaffery Junior, 21, meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan parah.

Adik dan sepupu mangsa berusia 18 dan 25 tahun hanya cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Keningau Deputi Superintendan Ahmad Jawila berkata, Isuzu D Max dipandu mangsa dipercayai hilang kawalan dan merempuh tiang elektrik.

"Pemandu tersepit dan disahkan meninggal dunia manakala penumpang hadapan yang tercampak keluar hanya cedera ringan.

"Turut cedera ringan penumpang belakang," katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.

Katanya, mayat dihantar ke Hospital Keningau untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 April 2017 @ 3:20 PM