Ayda Jebat

Selamat berhujung minggu! Sihat semua? Harap semuanya baik-baik sahaja. Alhamdulillah, minggu ini antara minggu terbaik adik. Kenapa? Sebab adik berjaya ke fasa dua atau top 5 untuk Anugerah Meletop Era 2017!

Anugerah Meletop Era atau singkatannya AME2017 tahun ini bakal berlangsung pada 23 April 2017, bersiaran secara langsung menerusi Astro Ria, jam 9 malam. Ramai artis hebat turut dicalonkan dalam pelbagai kategori yang dipertandingkan.

Adik dicalonkan untuk empat kategori iaitu Pelakon TV Meletop, Penyanyi Meletop, Lagu Meletop (Pencuri Hati) dan Drama Meletop (Menongkah Kasih).

Seperti tahun-tahun terdahulu, mana -mana anugerah pun adik tidak letak harapan tinggi. Cukuplah sekadar dapat bersama-sama dengan peminat memeriahkan suasana majlis anugerah tersebut sudah memadai.

Kalah menang adat bertanding dan adik teringat masa zaman adik kecil-kecil dulu. Adik imbas kembali sedikit, ya? Ketika itu adik dan adik-beradik lain selalu masuk pertandingan menyanyi. Asal pertandingan saja muka kita orang.

Setiap kali menang, tentu ada yang tak puas hati. Kata juri kenal adik dan keluarga, penganjur memang rapat dan macam-macamlah.

Apa yang adik nak kaitkan di sini ialah mengenai persoalan dan persepsi orang berkenaan AME dan adik. Adik tak pasti masih adakah lagi orang yang menganggap kemenangan adik disebabkan penaja.

Kalau nak dikira, banyak anugerah lain yang adik pernah menang dan langsung tiada kaitan dengan mana-mana jenama yang adik bekerja.

Bukan mahu riak atau berlagak, tiada sama sekali perasaan begitu. Cuma adik mahu anda semua faham dan tahu bahawa semuanya secara kebetulan. Rezeki itu Allah sudah tetapkan dan usaha peminat adik sendiri. Anugerah ABPBH anjuran akhbar BH untuk beberapa tahun adik menang, tiada pun jenama berkenaan dengan adik taja. Macam mana boleh menang? Anugerah Melodi, Anugerah Planet Muzik dan banyak lagi. Semuanya atas undian peminat.

Adik rasa sudah tiba masanya penonton dan anda semua lebih matang dan bijak untuk berfikir. Jangan mempertikaikan kemenangan dan kejayaan orang lain kalau kita tak mahu dipertikai.

Tak seronok bukan, kalau kena dekat batang hidung sendiri? Contohnya: “eh dia naik gaji sebab dia bodek bos..” atau “dapat pangkat tinggi sebab kawan baik dengan CEO la tu” padahal anda berusaha keras untuk sampai ke tahap itu. Faham apa yang adik maksudkan?

Kesimpulannya di sini, jadilah manusia yang jauh daripada iri hati dan buanglah sifat dengki. Sebelum beri komen tu, fikir dulu kerana mungkin kata-kata kita akan menimbulkan fitnah.

Adik cuma kesian pada peminat adik tahun lalu selepas kemenangan besar adik di AME apabila orang cakap, menang sebab penaja padahal mereka tidak tidur untuk mengundi. Kesian AJScreamer!

Apa-apa pun, kita tak patah semangat. Selamat berjaya kepada semua artis yang terbabit. Insya-Allah, kemenangan milik siapa yang layak dan atas usaha peminat.

Kalah menang adat bertanding. Bagi adik, kemenangan itu kenikmatan dan juga dugaan. Jumpa nanti di Anugerah Meletop Era 2017! Boleh undi melalui laman web atau undi SMS! Teruskan mengundi.

Katanya, ABPBH tahun ini pun undi secara dalam talian? Alhamdulillah, lega dengar sebab tak membebankan peminat. Terima kasih BH!

#Telus

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 April 2017 @ 5:30 AM