USAMAH Zaid Yasin (kanan) terharu dengan sokongan padu pengikut animasi Ejen Ali The Movie.
USAMAH Zaid Yasin (kanan) terharu dengan sokongan padu pengikut animasi Ejen Ali The Movie.
Georgie Joseph

Putrajaya: Filem terbitan Primeworks Studios dan WAU Animation, Ejen Ali The Movie menjadi pilihan peminat seluruh Malaysia apabila dinobatkan Filem MeleTOP pada Anugerah MeleTOP Era 2020 (AME2020), yang berlangsung malam tadi. 

Pengarahnya, Usamah Zaid Yasin mengakui terharu dengan sokongan padu pengikut yang sekali gus membuktikan bahawa filem animasi itu sememangnya disukai ramai.

"Tidak dinafikan, memang impian untuk menang ada selepas mendapat pencalonan itu. Tak sangka Ejen Ali The Movie menang disebabkan calon lain juga filem bernama besar.

"Bagi saya, ini adalah testimoni bahawa kerja-keras dan usaha pasukan WAU Animation bersama Primeworks Studios berbaloi. Kemenangan ini adalah hasil kejayaan semua yang terbabit merealisasikan filem itu.

"Kejayaannya menyatukan pengikut daripada pelbagai lapisan masyarakat, keluarga, adalah sangat membanggakan kami. Kami sangat bertuah tidak lekang daripada mendapat sokongan tidak berbelah bahagi," katanya.

Pada acara sama, penyanyi Haqiem Rusli dan Siti Nordiana menang beberapa kategori. Haqiem menerusi kategori Top Top MeleTOP Lelaki, Penyanyi MeleTOP, Lagu MeleTOP. Siti Nordiana menerusi Top Top Wanita MeleTOP, Duo/Berkumpulan MeleTOP, dan Artis Versatil MeleTOP.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Disember 2020 @ 12:34 AM