SALUTAN warna merah jambu krom sering mencuri tumpuan.
SALUTAN warna merah jambu krom sering mencuri tumpuan.
PEMILIK mengekalkan keaslian jentera dengan mendapatkan komponen asli Yamaha RX-S.
PEMILIK mengekalkan keaslian jentera dengan mendapatkan komponen asli Yamaha RX-S.
Nor Hanisah Kamaruzaman


Gigih dan optimis. Itu yang dapat digambarkan terhadap keterujaan pemilik jentera retro jenis Yamaha RX-S 115 yang sanggup melabur wang yang banyak sehingga menjadi perhatian ramai.

Menurut pemiliknya Remy Nazir, 42, jentera retro berkuasa 115cc itu berada di jalan raya sekitar 1986 dan apabila usianya lebih 30 tahun, mendapatkan alat ganti tulen motosikal varian RX ini bukanlah satu perkara mudah.

“Motosikal ini tidak banyak lagi kelihatan di jalan raya akibat faktor usia atau sudah dilupuskan pemiliknya.

“Namun, saya berminat untuk memiliki jentera retro ini kerana tertarik pada kelainan bunyi dihasilkan selain rupa bentuknya yang menarik,” katanya.

Menurut Remy, walaupun mengambil masa beberapa tahun untuk mencari motosikal itu, akhirnya dia berjaya mendapatkannya dengan harga sekitar RM10,000.

“Saya ambil masa agak lama untuk mencari motosikal ini kerana kebanyakan pemilik tidak mahu menjualnya selain disimpan sebagai kenangan,” katanya.

Jentera retro ini kemudian diberi nafas baru oleh pemilik dengan padanan cat merah jambu bersama komponen krom bersinar yang memikat.

Selain itu, warna berkilat berkualiti tinggi menyaluti hampir semua bahagian logam motosikal menambahkan rupa luarannya.

Bagi Remy, keaslian jentera retro itu perlu dikekalkan selain berusaha memperoleh komponen asli RX-S walaupun terpaksa diimport dari luar negara.

“Saya dapatkan komponen asli Yamaha RX-S kerana mahukan rupa asal motosikal ini kekal. Hanya beberapa komponen diubah suai seperti sistem brek dan sistem gantungan bagi memastikan aspek keselamatan dan tunggangan motosikal ini dipertingkatkan,” katanya.

Menariknya, pemilik turut menempah khas kelingkis enjin lur sinar dari Thailand sebagai ciri istimewa pada jentera ini.

Lebih menarik lagi, karburator UMA Racing turut diselitkan selain padanan rim AR125 dengan brek cakera.

Tanpa berselindung, Remy mengakui kos menyempurnakan jentera retro kesayangannya menelan belanja lebih RM30,000.

INFO

YAMAHA RX-S 135 (1986)

• Sistem brek: Kawasaki ZX10 dengan klac hidraulik Ohlins

• Sistem gantungan: Showa Revo Spec III Japan

• Brek cakera: Nissin

• Kaburator: UMA Racing

• Rim: AR125

• Aksesori: Kelingkis enjin lut sinar rekaan khas dan pelekat emas eksklusif

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 2 April 2017 @ 5:26 AM