Dadah (kiri) yang ditemui dalam bungkusan roti (kanan). FOTO Ihsan Polis
Dadah (kiri) yang ditemui dalam bungkusan roti (kanan). FOTO Ihsan Polis
Raja Noraina Raja Rahim


Tampin: Dua lelaki yang mahu melawat seorang tahanan di pusat pemulihan Kem Syed Sirajuddin, Gemas di sini, ditahan anggota tentera selepas didapati membawa dadah yang disembunyikan dalam bungkusan roti, semalam.

Ketua Polis Daerah Tampin Superintendan Hamazah Ab Razak berkata, suspek berusia 21 dan 25 tahun itu masuk ke kem berkenaan untuk melawat rakan mereka dengan membawa sebungkus roti, kira-kira jam 3 petang.

“Anggota tentera memeriksa bungkusan terbabit dan menemui dua paket dadah disyaki syabu dan pil yaba anggaran berat 5.85 gram yang diselit antara kepingan roti.

“Mereka ditahan dan dibawa ke Balai Polis Gemas. Suspek diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tampin untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurutnya, kedua-duanya ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39A(1), Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mac 2017 @ 1:04 PM