ABD Rahim memeluk anaknya  Rasniyati Rahim ketika ditemukan. FOTO Syarafiq Abd SamadSYARAFIQ ABD SAMAD
ABD Rahim memeluk anaknya Rasniyati Rahim ketika ditemukan. FOTO Syarafiq Abd SamadSYARAFIQ ABD SAMAD
NAJIB beramah mesra dengan bekas mangsa culik di Filipina, Tayudin Anjut dan Abd Rahim Summas selepas pertemuan dengan keluarga masing-masing. FOTO Yazit Razali
NAJIB beramah mesra dengan bekas mangsa culik di Filipina, Tayudin Anjut dan Abd Rahim Summas selepas pertemuan dengan keluarga masing-masing. FOTO Yazit Razali
Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail dan Mahaizura Abd Malik


Kuala Lumpur: Selepas lapan bulan terpisah akibat ditawan Abu Sayyaf, Tayudin Anjut, 46, dan Abdul Rahim Summas, 63, akhirnya dapat bertemu dengan keluarga masing-masing hari ini.

Tayudin dan Abdul Rahim yang berkerusi roda dilihat sebak dan menitiskan air mata saat memeluk keluarga masing-masing.

Pertemuan penuh hiba itu diaturkan Kelab Putera 1Malaysia (KP1M) dalam satu majlis ringkas di kediaman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di Taman Duta di sini.

Najib yang menyaksikan pertemuan itu sempat meluangkan masa kira-kira 20 minit untuk bertemu dan bertanya khabar dengan kedua-dua mangsa.

Najib berkata, kedua-dua mangsa akan ditempatkan di wad kelas pertama Hospital Selayang bagi menjalani rawatan khusus sehingga mereka pulih.

"Tayudin akan menjalani pembedahan kerana masalah penglihatan manakala Abdul Rahim pula tidak boleh berjalan.

"Kita akan berusaha untuk menyelamatkan tiga lagi mangsa dengan kerjasama agensi penguatkuasa dan kerajaan Filipina," katanya.

Terdahulu mangsa, dan keluarga mereka dibawa menikmati makanan selepas dikatakan hanya berpeluang menjamah sisa makanan sepanjang menjadi tawanan.

Turut hadir, Datin Seri Rosmah Mansor dan Presiden KP1M Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim.

Pada 18 Julai lalu, kedua-dua kru kapal tunda Serudong Tiga itu diculik pengganas Abu Sayyaf di perairan Dent Haven di Lahad Datu, Sabah.

Sebelum ini, media asing melaporkan, kedua-dua mangsa yang dalam keadaan lemah dan tidak sihat diselamatkan bot pasukan peronda Marin Filipina di perairan Pulau Pata di selatan Filipina.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Mac 2017 @ 9:44 AM