AFP

SofiaKapten Belanda, Arjen Robben (gambar) menyifatkan kekalahan mengejut pasukannya 0-2 pada kelayakan Piala Dunia di tangan Bulgaria sebagai “satu mimpi ngeri” apabila naib juara tiga kali itu berdepan kemungkinan terlepas aksi pusingan akhir 2018.

Kekalahan itu menyebabkan Belanda ketinggalan enam mata di belakang pendahulu Kumpulan A, Perancis yang menewaskan Luxembourg 3-1 dan terjerumus ke tangga keempat.

Mereka juga tiga mata di belakang Sweden, yang membenam Belarus 4-0 dan dua mata di belakang Bulgaria dengan hanya juara kumpulan terjamin tempat ke pusingan akhir di Russia.

“Apa yang boleh saya katakan kepada anda? Kami hadir ke sini dengan hasrat baik untuk menang tapi ia menjadi satu mimpi ngeri,” kata Robben, pemain sayap Bayern Munich berusia 33 tahun.

“Kami menang bersama dan kami kalah bersama. Kini kami pasti dikutuk hebat. Ia menyedihkan. Saya tergamam. Babak pertama terlalu mengejutkan.”

Bulgaria mengejutkan Belanda dengan dua gol dalam 20 minit pertama, kedua-duanya hadir menerusi Spas Delev yang meledak gol sulung di peringkat antarabangsa.

Delev merembat masuk hasil kesilapan pemain berusia 17 tahun, Matthijs De Ligt, pemain termuda Belanda melakukan penampilan sulung sejak 1931, yang tersilap agak satu hantaran dan membenarkan penyerang itu merembat masuk melepasi Jeroen Zoest.

Delev kemudian menjadikan kedudukan 2-0 apabila dia melakukan sepakan lencong melepasi Zoest.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 26 Mac 2017 @ 11:28 PM