VETTEL (kanan) sukar mengejar Hamilton tahun ini. — FOTO Agensi
VETTEL (kanan) sukar mengejar Hamilton tahun ini. — FOTO Agensi
AFP

FIKIRKAN mengenai Sebastian Vettel hujung minggu ini ketika dia dan Ferrari berharap untuk mengetepikan Lewis Hamilton dan Mercedes daripada menjadi tumpuan selain menyingkirkan mereka daripada podium pada Grand Prix Jerman di Hockenheim.

Juara empat kali Vettel berusaha untuk menamatkan “mimpi ngeri” selepas dia kemalangan ketika mendahului pada perlumbaan di Jerman tahun lalu sekali gus memberikan kemenangan serta dorongan dalam pemburuan kejuaraan buat pencabarnya dari Britain itu.

Vettel hanya menang sekali di Belgium tahun lalu sejak kegagalan memilukan itu.

Juara dunia lima kali dan pendahulu kejuaraan semasa Hamilton tidak menoleh ke belakang sejak itu dan mendahului kejuaraan pemandu tahun ini dengan 39 mata di depan rakan sepasukan Mercedes, Valtteri Bottas.

VETTEL ketika berlumba pada GP British dua minggu lalu. — FOTO Agensi
VETTEL ketika berlumba pada GP British dua minggu lalu. — FOTO Agensi

Vettel, yang dilahirkan di Heppenheim, tidak jauh dari Hockenheim, mengalami beberapa siri kesilapan dan kekecewaan yang turut menjejaskan masa depannya.

Selain itu, Hamilton memburu kejayaan kelima di Jerman hujung minggu ini ketika Mercedes meraikan permulaan ke-200 sebagai pengeluar dan keempat buatnya di Hockenheim, yang mana Vettel tidak pernah menang.

Satu-satunya kemenangan Vettel di Jerman hadir di Nurburgring pada 2013, setahun selepas kejayaan terakhir Ferrari di bumi Jerman apabila Fernando Alonso menang di Hockenheim pada 2012 – statistik yang tidak disenangi Vettel, ketika dia berusaha merangkul kemenangan pertama Ferrari sejak GP Amerika Syarikat tahun lalu.

“Saya tahu bagaimana keadaannya dan sedar kami perlu menebus kesilapan tahun lalu,” akui Vettel.

“Saya tidak sabar berlumba di Hockenheim – suasana di sana sering kali luar biasa dan penonton juga hebat. Saya harap kami boleh melakukan sesuatu yang bagus buat mereka.”

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 25 Julai 2019 @ 1:01 PM