ROBBEN mahu rakan sepasukan fokus jumpa Perancis.
ROBBEN mahu rakan sepasukan fokus jumpa Perancis.
Reuters

AMSTERDAM: Kapten Belanda, Arjen Robben menggesa rakan sepasukannya supaya tidak memandang rendah keupayaan mereka dan percaya dengan potensi sendiri untuk mengejutkan Perancis awal pagi Jumaat ini sekali gus menghidupkan semula harapan mereka ke Piala Dunia.

Belanda menghuni tangga ketiga Kumpulan A, tiga mata di belakang pendahulu bersama Perancis dan Sweden dan kekalahan kedua kempen kelayakan di tangan Perancis secara efektif akan melenyapkan impian mereka ke pusingan akhir di Russia tahun depan.

“Sudah tentu, dari segi kualiti Perancis satu pasukan yang amat bagus, tapi saya tidak mahu bercakap mengenai mereka. Saya fikir kami tidak boleh berasakan kami tidak bagus, kami mesti yakin dengan kualiti sendiri dan percaya kami boleh menewaskan mereka,” kata Robben semalam.

“Saya sering kali amat positif. Kami boleh katakan ia sukar kerana pasukan Perancis lebih bagus, tapi jika anda berfikir sebegitu lebih baik anda tinggal di rumah,” katanya.

“Kami mesti pergi ke Paris dengan keyakinan. Ia agak sama dengan situasi pada Piala Dunia 2014. Jika anda percaya dengan sesuatu dan mempunyai impian diperlukan, anda boleh pergi jauh.”

Belanda berakhir di tangga ketiga pada Piala Dunia di Brazil selepas awalnya dikritik hebat kerana menukar pendekatan taktikal.

Namun mereka gagal layak ke Euro 2016 dan kini bergelut dalam kelayakan Piala Dunia 2018.

Kekalahan di Sofia kepada Bulgaria Mac lalu menyebabkan Danny Blind dipecat sebagai jurulatih dengan Dick Advocaat kembali mengambil alih.

“Saya mahu lihat keyakinan bukannya kebimbangan,” ujar Robben.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 30 Ogos 2017 @ 10:41 AM