ANTARA peserta Kejohanan Bowling Best ! Harian Metro. FOTO Zulkarnain Ahmad Tajuddin
ANTARA peserta Kejohanan Bowling Best ! Harian Metro. FOTO Zulkarnain Ahmad Tajuddin
Rabi 'Atul 'Adawiyah Ismail


Johor Bahru: Sepuluh pasukan terbaik terpilih ke peringkat akhir Kejohanan Bowling Best! Harian Metro yang akan berlangsung di Sahara Bowling, Angsana Mall, di sini, esok.

Pasukan yang terpilih ialah Pemuda B, Mr Big Family Bistro, Phantom X, JBT, 300 Pro Shop, Hawthorn Crew, Rejam 2, SSTMI /PSA Tiger Junior, Lite Superbowl dan Sting.

Pengerusi Kejohanan, Othman Mamat yang juga Pengarang Eksekutif Pengeluaran/BPI Harian Metro berkata, 10 pasukan ini dipilih berdasarkan jatuhan pin terbanyak daripada 55 pasukan yang bertanding sejak semalam.

Menurutnya, acara akhir akan dimulakan pada 10 pagi di lokasi sama.

"Peserta diingatkan memakai baju rasmi kejohanan dan mengekalkan pemain yang sama seperti sesi sebelum ini.

"Ada kejutan menanti pasukan yang menyertai pertandingan akhir," katanya.

Othman berkata, esok turut diadakan konsert mini sempena sambutan ulang tahun Harian Metro Ke-26 yang akan dimeriahkan dengan kehadiran artis, kumpulan Jumero, Wani, Bandi Amuk dan Siti Nordiana.

"Konsert mini akan bermula pada 4 petang. Orang ramai dijemput beramai-ramai hadir bagi memeriahkan acara sambutan ulang tahun ini," katanya.

Juara Kejohanan Bowling Best! Harian Metro akan membawa pulang hadiah RM1,000 bersama medal dan hadiah iringan.

Naib juara membawa pulang RM700 bersama medal dan hadiah iringan, tempat ketiga RM600 medal dan hadiah iringan.

Tempat keempat menawarkan RM500 dan medal serta hadiah iringan, manakala tempat kelima hingga 10 membawa pulang RM200.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mac 2017 @ 9:22 PM