MUHAMMAD menghasilkan meja berasaskan kayu.
MUHAMMAD menghasilkan meja berasaskan kayu.
Mohd Rafi Mamat


LEBIHAN kayu jenis cengal sebelum dilupuskan kilang papan kini menjadi sumber rezeki menguntungkan apabila ia dijadikan pelbagai produk kraf tangan yang mendapat sambutan begitu menggalakkan.

Antara produk yang dihasilkan termasuk senduk, sudip, alas pemotong sayur, sudu, papan ukiran dan pelbagai barangan cenderahati. Hasil yang menarik dan berkualiti membuatkannya mendapat permintaan tinggi daripada pelancong tempatan dan luar negara.

Ini ditegaskan pengukir kayu berpengalaman Muhammad Draman, 64, yang menghasilkan lebih 10 produk menggunakan kayu terbuang, idea berkenaan tercetus apabila negara menguatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) awal tahun ini.

Dia yang berpengalaman lebih 30 tahun sebagai pengukir kayu berkata, untuk menghasilkan produk kraf tangan bersaiz kecil itu, selain kayu cengal dia turut menggunakan kayu jenis tembusu, akasia, merbau, damar minyak dan beberapa kayu jenis lain yang mempunyai warna menarik

Menurutnya, sejak kebelakangan ini sambutan terhadap produk kraf tangan bersaiz kecil dan tradisional begitu menggalakkan hingga dia tidak dapat memenuhi permintaan pengguna terutama pelancong yang menjadikan sebagai barangan cenderahati dan hadiah.

"Sebelum ini saya banyak menghasilkan pelbagai barangan perabot bersaiz besar seperti meja, kerusi dan hiasan dinding menggunakan kayu belah namun kini lebih banyak menumpukan kepada produk cenderahati berikutan permintaan yang begitu menggalakkan.

MARHAJA (kanan) turut memiliki kemahiran yang diwarisi daripada ayahnya.
MARHAJA (kanan) turut memiliki kemahiran yang diwarisi daripada ayahnya.

"Permintaan terhadap barangan perabot kini kurang menggalakkan disebabkan beberapa faktor seperti aktiviti melancong tidak aktif selepas negara diancam pandemik Covid-19.

"Disebabkan itu sepanjang tahun ini saya lebih menumpukan kepada produk kraf tangan yang mendapat sambutan menggalakkan

"Saya menjual produk berkenaan dengan harga antara RM10 hingga RM18, kebiasaan setiap kali menyertai pameran dan jualan dalam masa tidak sampai dua hari semua barangan habis dijual," katanya yang menetap di Kampung Chendor Sempadan, Kuantan.

Malah dia mampu menyiapkan antara 20 hingga 40 unit senduk sehari. Penggunaan beberapa jenis mesin memudahkan lagi tugas itu.Tiga peringkat dilakukan bagi menghasilkan produk berkenaan.

MUHAMMAD menggunakan mesin untuk menghasilkan senduk daripada kayu cengal.
MUHAMMAD menggunakan mesin untuk menghasilkan senduk daripada kayu cengal.

Tambahnya lagi, sepanjang tahun ini dia sepatutnya menyertai banyak program pameran dan jualan anjuran pelbagai pihak namun disebabkan PKP hampir semua aktiviti berkenaan tidak dianjurkan agensi berkaitan.

Muhammad berkata, dia hanya sempat menyertai tiga pameran dan jualan di Melaka, Kuala Lumpur dan Pusat Konservasi Gajah Kebangsaan (PKGK) Kuala Gandah, Lanchang pada awal tahun sebelum PKP.

Katanya, kehalusan pembuatan dan warna kayu cengal yang kekuningan serta harga murah menjadi faktor utama produknya mendapat permintaan menggalakkan. Kebiasaannya seorang pelancong membeli dua hingga lima produk yang diminati untuk dibawa pulang ke negara mereka.

"Kebanyakan mereka membeli senduk, sudip, alas pemotong sayur dan sudu bukan untuk digunakan sebaliknya dijadikan hiasan yang digantung pada dinding selain sebagai cenderahati atau hadiah.

MARHAJA bersama produk berasaskan kayu yang dihasilkan.
MARHAJA bersama produk berasaskan kayu yang dihasilkan.

"Rata-rata pelancong asing lebih berminat pada produk kayu yang mempunyai tompok hitam kerana mereka menganggap ia unik dan menarik

"Saya kini mendapat bantuan anak perempuan Marhaja bagi menghasilkan apa juga produk," katanya yang sebelum ini mendapat tunjuk ajar serta latihan daripada Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia.

Sementara itu bagi Marhaja, 31, kemahiran yang dimiliki membolehkan dia membantu ayahnya menghasilkan pelbagai produk kayu, penggunaan peralatan moden memudahkan lagi kerja serta mampu menyiapkannya dalam jangka masa singkat.

Menurutnya, pengalaman luas ayah dikongsi dalam memastikan setiap produk yang dihasilkan mengikut cita rasa pengguna, kualiti serta kehalusan ukiran sentiasa diberi perhatian.

ANTARA produk yang menarik perhatian.
ANTARA produk yang menarik perhatian.

"Kami saling bekerja sama menghasilkan pelbagai produk setiap hari, saya akan terus belajar bagi memastikan semua ilmu ayah dapat dikumpul sebanyak mungkin untuk diterjemahkan pada kepingan kayu.

"Saya minat dengan kerja kayu, darah seni ayah turut sama mengalir dalam diri ini," katanya yang sebelum ini turut menyertai latihan dengan Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Disember 2020 @ 6:40 AM