AFP

Milan: Dia dikenali sebagai ‘ayam jantan’ dengan keghairahan untuk memburu gol dan jurulatih Albania, Gianni Di Biasi berharap pemain sensasi Itali, Andrea Belotti akan berlapar, awal pagi esok.

“Saya lebih suka jika ada penyerang import yang mengungguli carta penjaring terbanyak Serie A ketika ini,” kata Di Biasi.

“Sudah sepanjang tahun Belotti berada di kemuncak permainannya namun ia satu tragedi buat kami kerana bukan dia saja yang perlu dibimbangkan di barisan depan mereka.”

Sembilan bulan sejak tersingkir pada suku akhir menerusi penentuan penalti kepada Jerman pada Euro 2016, Itali dilihat selangkah ke depan pada kelayakan Piala Dunia Russia 2018 apabila mereka menerima kunjungan Albania di Palermo, awal pagi esok.

Ketika ini berkongsi sebagai pendahulu bersama Sepanyol dalam Kumpulan G, namun dengan hanya juara kumpulan mara secara automatik, ia perlawanan yang tidak boleh disia-siakan Itali ketika mereka dilihat akan bersaing dengan La Roja memburu tempat sebagai juara kumpulan.

“Tidak bimbang tapi keputusan menentang Albania amat penting menjelang aksi menentang Sepanyol, September ini,” ujar jurulatih Itali, Gian Piero Ventura.

Namun jika Belotti boleh memperagakan aksi yang menjadikannya sebagai penjaring terbanyak Serie A dengan 22 gol, Ventura pasti berasa lega.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Mac 2017 @ 8:25 AM