AFP

Milan: Gianluigi Buffon (gambar) menyamai rekod Eropah dengan penampilan ke-167 ketika Itali seri tanpa jaringan dengan pasukan yang menyingkirkan mereka pada suku akhir Euro 2016, Jerman pada aksi persahabatan antarabangsa di San Siro, awal pagi semalam.

Buffon, 38, yang melakukan penampilan sulung bersama Itali pada 1997, kini menyamai rekod penjaga gol legenda Sepanyol yang sudah bersara Iker Casillas.

Sekalipun Buffon kini hanya ketinggalan 17 perlawanan di belakang pemegang rekod dunia Ahmed Hassan dari Mesir (184), penampilan positif penjaga gol muda AC Milan, Gianluigi Donnarumma sepanjang babak kedua menandakan persaraannya semakin hampir.

Menerima kunjungan Jerman hanya empat bulan selepas kekalahan dramatik menerusi penentuan sepakan penalti yang menamatkan impian mereka pada Euro 2016 di Bordeaux, Itali dilihat mampu menamatkan rentetan tiga perlawanan tanpa menang menentang juara dunia itu.

Namun tuan rumah gagal mengubah keadaan dengan rembatan penyerang Torino, Andrea Belotti terkena palang pada lewat permainan.

“Kami berdepan juara dunia dan tidak memberikan mereka banyak ruang,” ujar jurulatih Itali, Giampiero Ventura.

“Selain percubaan terkena palang, kami ada empat atau lima situasi yang sepatutnya disudahkan dengan lebih baik.”

Seperti Ventura, bos Jerman, Joachim Loew bersedia untuk masa depan dan melakukan beberapa rombakan dalam kesebelasan utamanya. Akhirnya, beliau gembira dengan persembahan mereka.

“Ia keputusan yang bagus dan penting buat kami, terutamanya buat pemain muda kami,” jelasnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 17 November 2016 @ 8:17 AM