AFP

Madrid: Juara La Liga, Atletico Madrid kekal dalam persaingan mengekalkan kejuaraan apabila melakar kemenangan 3-1 mengatasi Levante awal pagi semalam hasil dua jaringan Antoine Griezmann.

Ketika Fernando Torres menyaksikan perlawanan di tempat duduk penyokong sebelum perpindahan ke kelab asalnya diselesaikan hari ini, Griezmann berada dalam tekanan untuk meneruskan persembahan cemerlangnya dengan meledak hatrik ketika Atletico menamatkan perlawanan 2014 dengan kemenangan 4-1 mengatasi Athletic Bilbao dua minggu lalu.

Dia bagaimanapun menunaikan tanggungjawabnya dengan dua tandukan jarak dekat pada setiap babak sebelum Diego Godin meledak jaringan ketiga Atletico selepas jaringan Nabil El Zhar yang tertampan pemain lawan memberikan harapan kepada Levante.

Torres menjadi tumpuan sebelum sepak mula apabila berada di tempat duduk lembaga pengarah dengan mendapat tepukan gemuruh penonton.

Bagaimanapun, di padang, Griezmann memastikan bekas kapten Los Rojiblancos itu sukar kembali dalam skuad yang bakal bertandang ke Real Madrid pada saingan Piala Raja Sepanyol, Rabu ini.

Jurulatih Diego Simeone mencadangkan Griezmann beraksi di bahagian tepi, posisinya pada sebahagian besar kariernya, bagi memberi laluan kepada Torres.

“Bukan saja jaringan, yang penting untuk dirinya dan pasukan, saya gembira apabila dia berusaha dan memenangi semula bola bagi membolehkan melakukan serangan di posisi yang lebih baik,” kata Simeone mengenai Griezmann.

“Dia mampu beraksi di beberapa posisi, termasuk di bahagian sayap iaitu posisinya sebelum ini. Bukan semua perlawanan sama dan mungkin ada masanya semua penyerang beraksi serentak.”

Sementara itu, Sevilla mengatasi Valencia untuk mengisi kedudukan keempat, namun mempamerkan persembahan tidak meyakinkan apabila menang tipis 1-0 ke atas Celta Vigo yang beraksi dengan 10 pemain.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 January 2015 @ 6:10 AM