GRIEZMANN masih lagi menjadi kepercayaan Simeone. FOTO AFP
GRIEZMANN masih lagi menjadi kepercayaan Simeone. FOTO AFP

Madrid: Antoine Griezmann diejek oleh penyokong Atletico Madrid selepas kepulangannya ke Wanda Mentropolitano pagi tadi tatkala pasukannya mencatat keputusan seri tanpa jaringan menentang Porto dalam aksi Liga Juara-Juara (UCL).

Grizemann diketepikan dalam kesebelasan utama oleh pengurus, Diego Simeone dan diherdik oleh sebahagian penyokong Atleti selepas masuk pada separuh masa kedua.

Ada juga yang masih menunjukkan sokongan terhadap pemain kelahiran Perancis itu, yang dipinjamkan dari Barcelona.

Bagaimanapun, Simeone mempertahankan penyerangnya itu.

"Sebilangan penyokong bersikap kurang ajar dan mahu membuat drama dengan kehadiran semula pemain luar biasa seperti Griezmann.

"Saya berharap dia mampu beraksi dengan baik dan membuktikan kepada penyokong yang mengkritiknya," kata Simeone.

Atletico bernasib baik sekurang-kurangnya mendapat satu mata daripada aksi yang berlangsung menarik bagi Kumpulan B tatkala jaringan pemain Porto, Mehdi Taremi dibatalkan selepas hantaran lemah ke belakang oleh Renan Lodi, apabila pengadil mendapati bola sebelum itu sudah terkena tangan.

Taremi berjaya melepasi Jan Oblak namun bola dikatakan terkena tangannya sebelum masuk ke dalam gawang gol.

"Nasib baik ada Video Bantuan Pengadil (VAR). Ia agak pelik bagi saya bagaimana bola melantun dari badannya," kata Oblak.

Porto juga dikecewakan dengan layangan kad merah pada masa kecederaan kepada Chancel Mbemba, selepas mengasari Griezmann.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 September 2021 @ 8:40 AM