(Gambar kecil dari atas)  Syed Mohamed Arif, Fakhira dan Megat Naqiyuddin (kanan) yang berada di London ketika ini.
(Gambar kecil dari atas) Syed Mohamed Arif, Fakhira dan Megat Naqiyuddin (kanan) yang berada di London ketika ini.
Ridhatul Rizki dan Mazizul Dani


Kuala Lumpur: Pelajar tahun dua Queen Mary University of London, Fakhira Mohamed Hassan, 22, bersyukur rancangannya untuk bertemu rakan di pusat bandar London di mana berlaku kejadian serangan di hadapan bangunan Parlimen Britain, semalam, dibatalkan.

Menurutnya, rakannya membatalkan rancangan untuk bertemu di kawasan itu kerana terikat dengan urusan lain.

“Saya tinggal di Shoreditch, timur London. Jarak antara tempat saya dengan pusat bandar sekitar 20 minit menaiki kereta api.

“Sepatutnya saya pergi jumpa kawan di situ. Tapi tak jadi kerana tiba-tiba dia ada hal lain. Saya anggap ia hikmah dan lega tidak berada di kawasan itu,” katanya ketika dihubungi Harian Metro hari ini.

Tambah Fakhira, dia menerima panggilan daripada kakaknya di Malaysia sebaik sahaja kejadian serangan terbabit berlaku.

“Kakak saya lihat di Facebook ada serangan di sini. Dia terus hubungi saya dan bertanya jika saya selamat dan tidak terbabit dengan serangan itu.

“Alhamdulillah kawasan tempat tinggal saya aman dan penduduk di kawasan itu menjalani rutin harian mereka seperti biasa,” katanya.

Dalam kejadian jam 2.40 petang waktu tempatan, sekurang-kurangnya empat orang, termasuk seorang anggota polis terbunuh, apabila seorang lelaki merempuh orang ramai dengan kenderaan pacuan empat roda sebelum menikam anggota polis terbabit hingga mati di perkarangan bangunan Parlimen.

Kira-kira 40 orang turut cedera selepas dilanggar dengan lelaki yang memandu Hyundai Tucson di atas kaki lima Jambatan Westminster sebelum terhenti selepas merempuh pagar.

Sementara itu, penuntut di Kolej Universiti London, Syed Mohamed Arif Syed Abdul Rahim, 24, berkata, dia berada di kampus ketika serangan itu dan keadaan kecoh seketika selepas rakan sekelasnya memaklumkan mengenai tragedi itu.

“Sebaik saja kejadian itu, laluan di sepanjang universiti tempat saya belajar sesak teruk memandangkan jalan itu antara jalan utama di tengah kota London.

“Saya lihat kereta polis dan ambulans menuju ke tempat kejadian selain helikopter turut berlegar-legar di ruang udara kampus,” katanya yang mengikuti pengajian Ijazah Sarjana Kejuruteraan Pembangunan Antarabangsa.

Syed Mohamed Arif yang berasal dari Shah Alam, Selangor berkata, keadaan bagaimanapun kembali seperti biasa hari ini, namun kawalan keselamatan diperketatkan termasuk di setiap stesen kereta api dengan anggota polis berkawal.

Dia juga bersyukur kerana setakat ini, tiada penuntut Malaysia terbabit dalam serangan itu ataupun menyaksikan kejadian selepas bertanyakan perkembangan masing-masing menerusi kumpulan WhatsApp penuntut Malaysia di sana.

Pengurus Audit syarikat Klynveld Peat Marwick Goerdeler (KPMG) London, Megat Naqiyuddin Megat Sonari, 29 berkata, pejabatnya berada tidak jauh daripada kawasan serangan.

“Pejabat saya lebih kurang 10 minit menaiki kereta api daripada kawasan serangan. Tapi keadaan di sini normal seperti tiada apa-apa yang berlaku.

“Malah malam selepas kejadian, saya sempat keluar bersiar-siar di kawasan ini dan dapati semuanya aman,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mac 2017 @ 8:47 PM