GAMBAR yang dipetik dari rakaman video menunjukkan pejuang penentang menjulang senjata mereka dan bersorak, didakwa dirakam di Damsyik, ibu negara Syria. - Reuters
GAMBAR yang dipetik dari rakaman video menunjukkan pejuang penentang menjulang senjata mereka dan bersorak, didakwa dirakam di Damsyik, ibu negara Syria. - Reuters
AFP

Damsyik: Kumpulan penentang semalam melancarkan serangan baru di timur Damsyik, dua hari selepas tentera kerajaan mematahkan serangan awal yang dilakukan hanya beberapa kilometer dari pusat bandar ibu negara Syria ini.

Wartawan AFP dan Pemerhati Hak Asasi Syria (SOHR) masing-masing melaporkan letupan besar pada waktu Subuh diikuti pertempuran, tembakan dan serangan udara tentera kerajaan di lokasi yang dikuasai penentang.

Pertempuran baru di ibu negara itu - yang melihat kumpulan penentang melancarkan serangan terbesar di timur Damsyik sejak beberapa tahun lalu - berlaku hanya dua hari sebelum satu lagi pusingan rundingan damai dianjurkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) diadakan di Switzerland.

Ketua SOHR Rami Abdel Rahman berkata: “Letupan besar berlaku pada waktu Subuh, mungkin serangan bom kereta oleh penentang di lokasi tentera rejim di kawasan Jobar dan Qabun.”

Tentera udara Syria kemudian bertindak balas dengan melancarkan serangan di kedudukan penentang manakala kumpulan terbabit pada masa sama membedil dua kejiranan beberapa kilometer dari pusat bandar.

Pertempuran selama dua hari bermula Ahad lalu mengakibatkan sekurang-kurangnya 72 orang terbunuh iaitu 38 anggota tentera dan selebihnya pejuang penentang, kata SOHR.

Konflik di Syria meletus pada Mac 2011 susulan bantahan terhadap pemerintahan Presiden Bashar al-Assad sebelum merebak menjadi perang saudara. Lebih 320,000 orang terbunuh dan jutaan lain hilang tempat tinggal akibat konflik itu.

Beberapa rundingan damai diadakan sebelum ini gagal menamatkan perang saudara itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mac 2017 @ 7:46 AM