CHONG Wei.
CHONG Wei.
Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Terbuka Malaysia di Kuching, Sarawak yang bakal berlangsung dari 4 hingga 9 April depan bukan kejohanan ‘biasa-biasa’ untuk jaguh badminton perseorangan negara Datuk Lee Chong Wei.

Benar, Chong Wei sedang memburu kejuaraan kali ke-12 saingan bertaraf Super Siri Premier itu, namun di sebalik itu, Kuching sememangnya meninggalkan kenangan yang tidak dapat dilupakan dalam karier pemain nombor satu dunia berusia 34 tahun itu.

Jelas Chong Wei, 11 tahun lalu atau lebih tepat pada 2006, dia pernah beraksi pada pentas final bertemu sensasi China Lin Dan dengan melakukan kebangkitan luar biasa.

“Saya sememangnya menantikan saingan Terbuka Malaysia di Kuching.

“Sebab di stadium sama (Stadium Perpaduan) pada 2006 saya mempunyai kenangan melakukan kebangkitan semula ketika bertemu Lin Dan.

“Ketinggalan 13-20 di set penentuan adakah anda rasa saya mampu memenangi perlawanan itu. Sudah tentu tidak, sebab saya sendiri tidak mempercayainya.

“Saya kemudian berjaya menyamakan kedudukan sebelum memenangi set itu 23-21,” katanya yang memenangi perlawanan itu dengan keputusan 21-18, 18-21, 23-21.

Ketika itu, ia gelaran Terbuka Malaysia ketiga berturut-turut untuk Chong Wei selepas berjaya melakukannya pada 2004 dan 2005.

Lin Dan pula sehingga kini masih belum mampu memenangi walau satu gelaran Terbuka Malaysia.

“Harap kali ini saya dapat menghiburkan sekali lagi peminat tempatan,” kata Chong Wei.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 19 Mac 2017 @ 5:11 AM