WAN Hassan menunjukkan dadah serta rokok seludup yang berjaya dirampas. FOTO Mohd Hafizee Mohd Arop
WAN Hassan menunjukkan dadah serta rokok seludup yang berjaya dirampas. FOTO Mohd Hafizee Mohd Arop
Mohd Hafizee Mohd Arop


Teluk Intan: Operasi Bersepadu Khas dijalankan polis serta Pasukan Khas Taktikal Perisikan Narkotik (STING) Bukit Aman termasuk beberapa agensi penguatkuasaan lain di daerah Hilir Perak berjaya menahan 120 orang yang dipercayai terbabit dalam pelbagai kesalahan antaranya dadah, rokok dan arak seludup.

Operasi yang dijalankan bermula kelmarin itu membabitkan pelbagai agensi penguatkuasaan antaranya Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Imigresen dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad berkata, daripada jumlah tangkapan pelbagai kesalahan itu, polis turut menahan seorang lelaki berusia 42 tahun selepas pemeriksaan di rumahnya di Parit 21, Hutan Melintang, menemui dadah jenis heroin seberat 44.09gram.

Katanya, suspek yang bekerja sebagai buruh itu kini direman selama tujuh hari bermula semalam mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

"Dalam operasi ini turut berjaya menahan seorang lelaki berusia 31 tahun yang juga penjawat awam selepas ujian air kencing mendapatinya positif morfin.

"Rampasan dadah yang dilakukan sepanjang tempoh operasi ini ialah 62.04 gram heroin, 6.78 gram syabu, masing-masing sebiji pil kuda serta Eramin 5 dan 1.18gram ganja yang dianggarkan bernilai RM3903," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak di sini, hari ini.

Wan Hassan berkata, operasi ini juga menyelesaikan satu kes kecurian kereta dengan tertangkapnya lelaki berusia 35 tahun selepas pemeriksaan mendapati kereta digunakannya itu adalah kereta yang dilaporkan hilang di Klang, Selangor.

Menurutnya, operasi yang turut disertai JKDM itu turut merampas 14,924 batang rokok serta 488 tin arak yang dipercayai cuba diseludupdianggarkan berjumlah lebih RM2,000.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Mac 2017 @ 8:57 PM