GUNTOR  (kanan) bersama Pengarah Eksekutif  Ganding Kencana Datin Hasnah menunjukkan  ladang panel solar milik syarikatnya.
GUNTOR (kanan) bersama Pengarah Eksekutif Ganding Kencana Datin Hasnah menunjukkan ladang panel solar milik syarikatnya.
Oleh Sofyan Rizal Ishak

Ayer Keroh: Gading Kencana Sdn Bhd (Gading Kencana), syarikat perkhidmatan tenaga Bumiputera merancang membuka sebuah kilang menghasilkan bahan mentah sel solar dikenali ‘ingot’ dalam tempoh lima tahun akan datang.

Pengarah Urusannya, Datuk Ir Guntor Tobeng berkata syarikat bakal melabur RM200 juta untuk melaksanakan pelan terbabit di mana kilang yang dijangka mampu menjana tenaga sebanyak 200 megawatt (MW) dan beroperasi selama tiga tahun sebelum hasil pengeluaran memasuki pasaran antarabangsa.

“Kami belum mengenal pasti lokasi sesuai bagi pembinaan kilang itu namun apa yang pasti, ia membantu syarikat memenuhi permintaan global terhadap ingot,” katanya pada sesi lawatan media anjuran Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di sini, semalam.

Beliau berkata, permintaan terhadap ingot amat tinggi terutama daripada kalangan syarikat yang mengeluarkan sel solar dan penghasilan bahan mentah itu diyakini mampu memberi saingan kompetitif dalam pasaran ingot dan sel solar global.

“Pembukaan kilang ini akan menjadi cabang baru perniagaan kepada Gading Kencana yang kini lebih fokus kepada perniagaan penjanaan tenaga solar menerusi ladang panel solar,” katanya.

Beliau berkata, syarikat itu kini memiliki sebuah ladang panel solar seluas tujuh hektar terletak di Ayer Keroh, Melaka membabitkan kos bernilai RM84 juta dengan kapasiti pengeluaran 8 MW dalam satu-satu masa atau 10,120 MW sejam tenaga elektrik setahun.

“Tenaga dihasilkan melalui ladang panel solar ini disalurkan kepada grid kebangsaan dengan bayaran diperoleh syarikat sebanyak 80 sen setiap satu Kilowat (KW),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 Mac 2015 @ 7:48 AM