Kompleks Hijau Solar, Ayer Keroh, Melaka. Gambar hiasan
Kompleks Hijau Solar, Ayer Keroh, Melaka. Gambar hiasan
Shamsul Munir Safini


Georgetown: Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) mengumumkan berjaya menarik pelaburan luar lebih RM2.42 billion dalam projek penghasilan panel solar serta industri tenaga baru tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA Datuk Azman Mahmud berkata, daripada jumlah itu, RM1.77 billion adalah pelaburan daripada tujuh syarikat luar dalam projek penghasilan solar manakala selebihnya membabitkan 83 projek penghasilan tenaga baru.

Beliau berkata, MIDA positif dengan prospek pelaburan tenaga solar, selain bersedia menjadikan Malaysia sebagai hab pengeluaran tenaga alternatif itu.

Azman berkata, ia susulan permintaan bagi tenaga solar mencatatkan peningkatan, selari dengan dasar kerajaan di seluruh dunia yang menggalakkan penggunaan tenaga boleh diperbaharui itu.

Menurutnya, pasaran photovoltaic (PV) dunia juga dijangka berkembang antara 12 hingga 20 peratus, membabitkan keseluruhan segmen rantaian PV sepanjang lima tahun ini.

“Malaysia kini muncul sebagai negara pengeluar ketiga dunia bagi sel dan modul PV selepas China dan Taiwan, selain memiliki tapak pembuatan filem nipis terbesar dengan menjadi pengeksport utama panel solar ke Amerika Syarikat.

“Malah, pengeluaran tenaga solar di rantau Asia dijangka meningkat melebihi 37 gigawatt (GW) bagi kapasiti PV antara 2014 hingga 2018,” katanya ketika merasmikan PV Cell Tech 2017 di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Mac 2017 @ 1:15 PM