Anggota ATM dari Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) dan Rejimen Sempadan menyiapkan pembinaan jambatan sementara yang menjadi laluan utama antara Kampung Bongor berserta tiga lagi kampung di pekan Gerik yang runtuh akibat hujan lebat. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
Anggota ATM dari Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) dan Rejimen Sempadan menyiapkan pembinaan jambatan sementara yang menjadi laluan utama antara Kampung Bongor berserta tiga lagi kampung di pekan Gerik yang runtuh akibat hujan lebat. FOTO Muhammad Zulsyamini Sufian Suri
Muhammad Zulsyamini Sufian Suri


SERAMAI 70 pegawai dan anggota dari Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bertungkus-lumus menyiapkan jambatan sementara sepanjang 26 meter merintangi Sungai Pieh di Kampung Bongor, Bersia, dekat Gerik, hari ini.

Pembinaan berikutan laluan sementara merintangi sungai itu dihanyutkan arus sungai semalam, menyebabkan kira-kira 1,500 penduduk dari empat kampung terputus laluan ke pekan Gerik.

Panglima 2 Briged Datuk Mohd Nizam Jaffar berkata, pembinaan jambatan menggunakan model COMPACT 200 milik ATM dilakukan sejak 4 pagi tadi.

"Jambatan itu siap selewat-lewatnya 6 petang ini bergantung kepada keadaan cuaca dan aliran sungai.

"Selain itu saiznya yang lebih besar berbanding model BALLEY 100 yang digunapakai ATM bagi misi sama sebelum ini membolehkan aliran trafik dua hala dalam masa serentak. Model COMPACT 200 ini adalah yang pertama dilakukan di negeri ini," katanya.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Temengor Salbiah Mohamed dan Ketua Kampung Bonggor, Mat Ralik Abd Majid.

Sementara itu, Mat Ralik berkata, pembinaan jambatan sementara itu menyelesaikan masalah perhubungan semua kampung.

Beliau berkata, aliran Sungai Pieh yang tidak menentu khususnya ketika hujan menyebabkan struktur laluan asal kerap ditenggelami air menyebabkan laluan sementara dibina bersebelahannya namun roboh semalam.

"Kejadian menyebabkan pergerakan penduduk terbatas hingga menyekat aktiviti seharian mereka," katanya.

Dalam pada itu, Salbiah berkata, peruntukan bagi pembinaan jambatan baru yang menghubungkan Kampung Bongor dan Felda Bersia bagi menggantikan laluan sementara yang roboh itu sudah diluluskan.

"Peruntukan daripada kerajaan negeri sebanyak RM600,000 diluluskan dan kemudahan itu dijangka siap tahun ini juga," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 September 2017 @ 10:50 AM