FOTO Saddam Yusof
FOTO Saddam Yusof
Mohamad Zulhairie Manzaidi


Pasir Mas: Pasar raya di negeri ini yang berada dalam lingkungan 30 kilometer daripada sempadan Thailand hanya dibenarkan menjual minyak masak bersubsidi maksimum dua kilogram kepada setiap pembeli.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kelantan, Datuk Ab Ghani Harun berkata, langkah itu diambil bagi mengekang aktiviti penyeludupan minyak masak bersubsidi itu ke negara jiran.

Beliau berkata, di negeri ini hampir 80 peratus pasar raya terletak kurang 30 kilometer dari sempadan membabitkan daerah Kota Bharu, Tumpat, Tanah Merah dan Jeli.

"Sebelum menetapkan peraturan itu ditetapkan, kita lihat kebanyakkan penyeludup menjadikan pasar raya sebagai tempat untuk mendapatkan minyak masak antara lima hingga 10 kotak sehari.

"Kebiasaannya, minyak masak paket terbabit akan dijual di Thailand dengan harga yang tinggi iaitu RM65 sekotak, dan disebabkan itu, banyak minyak kita terlepas ke sana," katanya ketika ditemui selepas merasmikan program kesedaran pengguna Koperasi Guru-guru Malaysia Berhad (KGMB) di Kolej Vokasional Pasir Mas, Tendong di sini, tadi.

Beliau berkata, sejak langkah itu diperkenalkan lapan hari lalu, pihaknya mendapat maklum balas positif daripada pelanggan kerana mereka kini lebih mudah mendapatkan bekalan minyak masak.

"Tinjauan yang dilakukan anggota penguatkuasa KPDNKK di pasar raya juga mendapati sudah terdapat lambakan minyak masak.

"Sebenarnya bekalan minyak mencukupi, namun disebabkan ingin mendapatkan keuntungan berganda, penyeludup yang membuatkan minyak di pasaran cepat habis," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mac 2017 @ 4:45 PM