Siti Nor Hidayatidayu Razali


Pasir Mas: Seorang pengarah syarikat kilang pembungkusan minyak masak dihadapkan ke Mahkamah Sesyen hari ini, atas pertuduhan melakukan ketirisan minyak masak bersubsidi, Oktober lalu.

Tertuduh, Mohamad Nazri Awang, 26, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu di depan Hakim Dazuki Ali.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan ketirisan minyak bersubsidi apabila gagal menyelenggara buku stok di kilang pembungkusan minyak masak Fzlyn Enterprise, Simpang Tiga Geting, Pengkalan Kubor, 12.05 tengah hari, 31 Oktober 2016.

Kesalahan itu didakwa mengikut Peraturan 13(1) Peraturan Kawalan Bekalan 1974 dan Seksyen 22(1) Akta Kawalan Bekalan 1961(Akta 122) yang membawa hukuman denda tidak lebih RM100,000 atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Kelantan Nurdeenie Abdul Rashid yang menawarkan wang jaminan RM10,000.

Bagaimanapun tertuduh merayu wang jaminan dikurangkan dan mahkamah membenarkan jaminan RM8,000 dan menetapkan 8 Januari 2017 sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 15 November 2016 @ 1:19 PM