PEMAIN Barcelona meraikan kemenangan ke atas PSG.
PEMAIN Barcelona meraikan kemenangan ke atas PSG.

Seperti dijangkakan Barcelona bangkit di tempat sendiri ketika bertemu Paris Saint Germain (PSG). Ini berikutan keputusan agak mengejutkan apabila PSG mengatasi Barcelona dengan keputusan 4-0 di peringkat pusingan 16 Liga Juara-Juara.

Dalam jangka masa tiga minggu, ketua jurulatih Barcelona turut memutuskan beliau akan menamatkan perkhidmatannya pada hujung musim ini. Luis Enrique berasa tertekan kerana kekalahan yang begitu teruk di Paris. Persembahan Barcelona pula buruk semasa dibolosi empat gol.

Dalam perlawanan timbal balik di Nou Camp, Enrique menunjukkan kebolehan mencorakkan taktikal berlainan dengan formasi 3-3-1-3. Menugaskan tiga pemain bek tengah sebagai barisan pertahanan, Javier Mascherano, Gerard Pique serta Samuel Umtiti beraksi baik dan yakin dalam konteks untuk mengambil risiko sewaktu perlu.

Barisan tengah pula memberi peluang Andres Iniesta dan Ivan Rakitic beraksi lebih rapat dengan barisan serangan. Seperti biasa, Sergi Busquets beraksi sebagai pemain tengah defensif.

Pemain terbaik dunia, Lionel Messi pula diberi tugas bergerak bebas di antara bahagian tengah dan barisan serangan. Bahagian serangan pula mempunyai taktikal dua pemain yang beraksi sebagai pemain sayap tradisional. Bintang Brazil, Neymar bertugas di bahagian sayap kiri manakala Rafinha, sayap kanan. Penyerang terbaik dunia, Luis Suarez di tugas beraksi di posisi asal sebagai penyerang utama.

Kehadiran Messi beraksi bebas di antara ruang barisan tengah dan barisan serangan memaksa dua pemain PSG untuk mengawasi dan mengawal pergerakan bintang Argentina itu. Marco Verratti dan Adrien Rabiot yang begitu menonjol pada perlawanan pertama di Paris kerana Messi beraksi di barisan serangan, kini tenggelam!

Di sini, kebijaksanaan Enrique memainkan peranan. PSG juga mencipta peluang tapi corak taktikal serta kualiti individu menyaksikan Barcelona menyerlah.

Kita juga sedar pemain pertahanan tengah PSG, Thiago Silva yang juga kapten kelab Perancis itu tidak beraksi perlawanan pertama. Perlawanan di Paris menunjukkan gandingan Marquinhos bersama Presnel Kimpembe, seorang pemain muda menunjukkan aksi serta persefahaman baik.

Di Nou Camp pula, Thiago Silva yang dianggap pertahanan baik oleh segolongan ‘kelab sorak’ sekali lagi beraksi buruk serta tidak sekalipun menunjukkan kapasiti sebagai kapten yang baik. Beban besar untuk menyekat Suarez serta penyerang lain Barcelona terletak di bahu Marquinhos yang akhirnya gagal. Kegagalan mendapat sokongan serta bantuan rakan segandingan Thiago Silva memaksa Marquinhos bagaikan beraksi berseorangan di bahagian bek tengah.

Ini bukan kali pertama Silva menghilangkan diri dalam perlawanan diselubungi tekanan tinggi. Adalah amat mengelirukan bagaimana pemain pertahanan tengah ini disanjung. Sebagai kapten, dia mendapat perhatian tapi itu tidak mencukupi kerana persembahan yang gagal membantu pasukan.

Kehadiran Silva pula membunuh prestasi pemain yang digandingkan dengannya terutama David Luiz sebelum ini dan kini Marquinhos. Sesiapa saja digandingkan dengan Silva terpaksa beraksi berseorangan. Tapi dikhabarkan pemilik PSG sungguh berminat dengannya. Kita berharap pemilik itu akan sedar Silva sudah menjadi satu liabiliti kepada PSG di pentas tertinggi bola sepak Eropah.

Pengurus pasukan, Unai Emery pula akan mendapat jawapan terhadap kekalahan 1-6 di Nou Camp itu - PSG hanya beraksi dengan 10 pemain!

Enrique pula sedar beliau tertekan sewaktu membuat keputusan untuk meninggalkan Barcelona tapi pemain pemain serta sejarah memainkan peranan yang besar. Keyakinan dan kualiti pemain membawa kelab yang mencorakkan bola sepak paling menarik di dunia mencapai satu lagi tahap dengan mencipta sejarah apabila bangkit daripada ambang penyingkiran.

Percaturan taktikal malam itu nyata milik Enrique dan beliau akan berundur dengan perasaan megah walau apa jua nasib Barcelona dalam perjuangan Liga Juara-Juara musim ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Mac 2017 @ 6:02 AM