BERNAMA

Kuala Lumpur: Polis menahan 10 individu dan merampas 2.5 juta pil Erimin 5 dianggar bernilai RM50 juta, dipercayai rampasan terbesar tahun ini, dalam operasi khas membanteras dadah sekitar ibu negara dan Selangor semalam.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata serbuan itu dilakukan Pasukan Khas Taktikal dan Risikan Narkotik (STING) Bukit Aman.

"Syabas STING @PDRM tadi (semalam) tangkap 10 orang di Kuala Lumpur dan Selangor. Rampas 2.5 juta pil eramine 5 bernilai RM50 juta di Klang. #GoPDRMGo,” katanya dalam akaun Twitter rasminya.

Beliau turut mengucapkan syabas kepada Pasukan Tindakan Khas Anti Maksiat, Judi dan Gengsterisme (STAGG) atas kejayaan menangkap 390 GRO dan tukang urut selain turut menangkap 468 orang suspek dan merampas 3,210 komputer judi dalam operasi seluruh negara.

"Syabas lagi STAGG @PDRMsia gempur maksiat seluruh negara sepanjang minggu lalu, tkap 390 org GRO dan tukang urut. #GoPDRMGo.

"Syabas STAGG @PDRMsia gempur judi seluruh negara, sepanjang minggu lalu. Tkap 468 org dan rampas 3210 comp. #GoPDRMGo," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mac 2017 @ 8:20 PM