Mohd Fadly Samsudin


Kuala Lumpur: Pasukan Taktikal Khas Antimaksiat Judi dan Gangsterisme (STAGG) Bukit Aman menahan 523 individu serta merampas wang tunai RM482,000 hasil perjudian terbuka di seluruh negara, sepanjang minggu lalu.

Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, pasukan STAGG turut menumpaskan sindiket perjudian Internet apabila menahan seramai 220 individu serta merampas 1,366 komputer dalam tempoh sama.

Beliau berkata demikian menerusi laman Twitter rasminya hari ini.

"Syabas juga STAGG @PDRMsia gempur judi di lokasi-lokasi terbuka, sepanjang minggu lalu. Tahan 523 orang dan rampas RM482,000 tunai. #GoPDRMGo.

"Syabas STAGG @PDRMsia gempur judi seluruh negara sepanjang minggu lalu. Tahan 220 orang dan rampas 1,366 komputer. #GoPDRMGo," katanya.

Beliau berkata, sepanjang minggu lalu juga pasukan STAGG berjaya menumpaskan sindiket pelacuran selepas menahan 282 wanita pelayan pelanggan (GRO) dan tukang urut dalam operasi dijalankan di seluruh negara.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Februari 2017 @ 10:53 AM