SHAHRIZAN (tengah) optimis barisi kesebelasan utama skuad Tok Gajah.
SHAHRIZAN (tengah) optimis barisi kesebelasan utama skuad Tok Gajah.
Oleh Asrol Awang

Kuantan: Pemain Pahang menyambut baik tindakan Zainal Abidin Hassan memberi peluang kepada pemain tempatan dalam kesebelasan utama menghadapi saingan Liga M musim ini.

Mereka beranggapan peluang pemain tempatan berada dalam skuad utama memberi lebih motivasi untuk mempamerkan prestasi terbaik.

Pemain pertahanan, Mohd Shahrizan Salleh berkata, dengan dua pemain import dimiliki Pahang, dia akan berusaha mengisi tempat dalam kesebelasan utama.

“Saya harap dapat memikat hati jurulatih selepas Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) memutuskan empat pemain import boleh diturunkan dalam kesebelasan utama berbanding tiga musim lalu.

“Walaupun terpaksa bersaing dengan rakan lain, tiada yang mustahil boleh dilakukan kerana peluang kini terbuka dan kata putus pada jurulatih sendiri,” katanya.

Pahang memiliki empat import, masing-masing dua penyerang dan pertahanan iaitu Matias Conti dan Dickson Nwakaeme serta Damion Stewart dan Zesh Rehman.

Sementara itu, Mohd Saiful Nizam Miswan yang juga bertindak sebagai pemain pertahanan berazam mengisi benteng utama Tok Gajah.

“Saya akui saingan sengit untuk berada dalam kelompok 11 pemain utama dan akan lebih fokus sepanjang latihan,” katanya.

Berdasarkan prestasi semasa, jika Stewart dan Rehman menunjukkan aksi memberangsangkan, Shahrizan dan Saiful Nizam perlu lebih agresif kerana satu lagi tempat sudah pasti diisi Mohd Razman Roslan yang juga kapten pasukan.

Manakala, pemain paling senior berusia 40 tahun musim ini, Jalaluddin Jaafar turut ditagih khidmatnya jika mencapai tahap diinginkan Zainal.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 January 2015 @ 5:15 AM