Oleh Asrol Awang

Kuantan: Ketua jurulatih Zainal Abidin Hassan mengesahkan empat pemain import akan dijadikan sandaran skuad Pahang ketika berdepan Johor Darul Ta’zim (Johor DT) pada aksi Piala Sumbangsih di Larkin, Johor, 31 Januari ini.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, setakat ini kesebelasan utama beliau idamkan sudah ada dan berharap semua yang disenaraikan itu mampu mempamerkan prestasi cemerlang.

Katanya, perebutan dalam kalangan pemain sesuatu yang positif dan selaku jurulatih, beliau gembira dengan kesungguhan dipamerkan.

“Mungkin kali ini Alex (Azamuddin Mohd Akil) tidak dapat bersama kerana kecederaan lutut kanannya belum sembuh. Selain itu, semuanya berjalan baik dan kami sudah boleh menurunkan pemain yang sebelum ini dibelenggu kecederaan seperti R Gopinathan (gambar) dan Mohd Hafiz Kamal.

“Tapi, saya percaya semua pemain akan mempamerkan komitmen tinggi untuk meraih kemenangan pada aksi Piala Sumbangsih yang juga menjadi pembuka tirai Liga Super musim ini.

“Saya kini mengharapkan prestasi terbaik dapat dipamerkan untuk menilai persediaan skuad Tok Gajah menghadapi saingan Liga Super musim ini,” katanya.

Zainal Abidin berkata, beliau kemungkinan besar mengubah beberapa taktik termasuk posisi pemain untuk membentuk persefahaman lebih mantap.

Katanya, antara perubahan yang difikirkan ialah meletakkan Zesh Rehman di bahagian tengah kerana pemain import itu boleh beraksi di posisi berkenaan.

“Bagaimanapun, segala-galanya bergantung kepada keadaan kerana saya percaya kehadiran empat pemain import dalam kesebelasan utama akan memberikan impak positif buat pasukan,” katanya.

Musim lalu, Zainal Abidin bergilir meletakkan Matias Conti atau Dickson Nwakaeme di bahagian serangan manakala Damion Stewart atau Rehman akan beraksi di posisi pertahanan disebabkan hanya tiga pemain import dibenarkan beraksi pada setiap perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 23 January 2015 @ 7:43 AM