Oleh Mohd Rafi Mamat


Kuantan: Persembahan mantap dipamerkan setakat ini memberi ruang selesa kepada pemain kacukan Malaysia dan Australia, Matthew Davies untuk terus tersenarai membawa cabaran Pahang dalam saingan Liga Super.

Davies yang juga bekas pemain kelab Perth Glory amat puas hati apabila mendapat kepercayaan jurulatih Zainal Abidin Hassan untuk mengawal benteng dan bergandingan dengan ketua pasukan Mohd Razman Roslan, Damion Stewart serta Zesh Rehman.

“Tanggungjawab yang diberikan saya laksanakan dengan sebaik mungkin bagi memastikan pintu gol Tok Gajah tidak mudah dibolosi jentera serangan lawan,” katanya.

Berhubung perlawanan separuh akhir pertama Piala FA bertemu Kelantan di Stadium Darulmakmur malam ini, Davies berkata, pertemuan dua pasukan Pantai Timur itu pasti sengit kerana masing-masing memerlukan kemenangan untuk mencerahkan peluang ke saingan akhir.

Katanya, hanya pasukan yang tidak banyak melakukan kesilapan akan muncul pemenang dan bagi Tok Gajah, kelebihan beraksi di gelanggang sendiri pasti memberi sedikit kelebihan.

“Prestasi pemain kini di kemuncak selepas mencatat kejayaan demi kejayaan dan diharap menjadi suntikan moral untuk menjinakkan Kelantan walaupun mereka kurang menyerlah pada saingan Liga Super.

“Saya berjanji memberi persembahan terbaik sekiranya diturunkan. Hanya aksi berkualiti saja dapat menjamin Tok Gajah meraih kemenangan.

“Walaupun tanpa kelibat Stewart yang digantung satu perlawanan selepas menerima dua kad kuning, ia tidak menjejaskan benteng Pahang. Saya yakin jurulatih sudah mempunyai pemain terbaik mengisi kekosongan itu.

“Saya harap rakan sepasukan memberi tumpuan penuh untuk mencatat kemenangan. Ia akan menjadi lebih manis jika mampu meraih jaringan besar kerana pertemuan kedua di gelanggang lawan,” katanya.

Davies berkata, menduduki tangga teratas Liga Super turut diharap menjadi pembakar semangat pemain Tok Gajah untuk memburu kemenangan dalam usaha mempertahankan kejuaraan Piala FA.

“Saya harap aksi pertama bersama Pahang musim ini berakhir dengan kejayaan manis menjulang Piala FA dan Liga Super,” kata pemain kelahiran Perth, Australia yang mula beraksi bersama Pahang bulan lalu itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Mei 2015 @ 9:13 AM