peniaga sayur diserang dan ditetak seorang lelaki dikenali dalam kejadian di rumahnya di Tudan.
peniaga sayur diserang dan ditetak seorang lelaki dikenali dalam kejadian di rumahnya di Tudan.
Mohd Rizal Abdullah


Miri: Hanya kerana enggan meminjamkan wang kepada kenalannya, peniaga sayur berdepan detik cemas apabila diserang dan ditetak lelaki terbabit di Tudan, di sini, awal pagi kelmarin

Dalam kejadian jam 1.22 pagi, mangsa berusia 72 tahun cedera di kepala dan pergelangan tangan kiri akibat ditetak suspek menggunakan parang.

Timbalan Ketua Polis Daerah Miri Superintendan Stanley Jonathan Ringgit berkata, suspek berusia 30-an datang ke rumah mangsa bagi meminjam sejumlah wang.

Bagaimanapun, katanya, mangsa enggan meminjamkan wang menyebabkan suspek berang lalu menyerang warga emas berkenaan.

“Mangsa menjerit dan meraung kesakitan akibat ditetak oleh suspek sebelum melarikan diri. Jiran mangsa yang terdengar jeritan warga emas terbabit menghubungi talian kecemasan untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, di sini, semalam.

Katanya, polis kemudian bergegas ke lokasi kejadian dan menemui mangsa berlumuran darah.

“Mangsa dikejarkan ke Hospital Miri untuk rawatan dan dilaporkan dalam keadaan stabil.

“Jumlah wang yang dipinjam belum diketahui kerana mangsa masih menerima rawatan di hospital. Usaha mengesan suspek sedang dilakukan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 September 2017 @ 7:26 AM