HYKL (kanan) ketika sidang media Pesta Filem Republik Czech di GSC Mid Valley Megamall.
HYKL (kanan) ketika sidang media Pesta Filem Republik Czech di GSC Mid Valley Megamall.
Michelle Gun


Buat pertama kali, Republik Czech mengadakan Pesta Filem Czech di Malaysia dan penggemar karya sejarah serta budaya asing berpeluang menyaksikan lima filem terbaik negara itu secara percuma.

Pesta selama empat hari itu bermula Khamis ini di tiga pawagam Golden Screen Cinemas (GSC) terpilih iaitu di Mid Valley Megamall, Pavilion Kuala Lumpur dan 1Utama, Petaling Jaya.

Karya yang bakal ditayangkan adalah Dark Blue World, Elementary School, Oldies But Goldies, A Vote for the King of the Romans serta pemenang Filem Bahasa Asing Terbaik Anugerah Oscar 1996, Kolya.

Menurut Duta Republik Czech Rudolf Hykl, industri perfileman negara itu bukan saja menghasilkan karya berkualiti tetapi turut mencatat pencapaian terbaik di peringkat antarabangsa.

“Sejak 20 tahun lalu, republik ini menjadi lokasi pilihan penggambaran beberapa filem blockbuster Hollywood.

“Ini kerana republik ini mempunyai bangunan bersejarah selain menyediakan infrastruktur baik untuk perfileman,” katanya ketika sidang media Pesta Filem Republik Czech di pawagam GSC Mid Valley Megamall, baru-baru ini.

Beliau berkata, antara sebab kedutaan menganjurkan pesta filem itu kerana mahu memperkenalkan seni budaya dan sejarah republik terbabit kepada rakyat Malaysia.

“Saya yakin lima filem terpilih ini mendapat sambutan kerana pernah diiktiraf Anugerah Oscar selain bersesuaian dengan cita rasa rakyat Malaysia.

“Semua filem ini bukan saja mengetengahkan sinematografi berkualiti tetapi juga jalan cerita, dialog dan jenaka baik.

“Malah, karya berkenaan turut dibintangi barisan pelakon terbaik dari Republik Czech,” katanya.

Menurut Hykl, tempoh empat hari tayangan dianggap sudah cukup untuk memperkenalkan semua filem berkenaan.

“Ada 30 tayangan lima filem ini di tiga pawagam GSC terpilih. Menganjurkan pesta ini bukan murah dan sudah lama dirancangkan sejak tahun lalu.

“Republik ini masih menyertai Pesta Filem Eropah dan berharap pesta ini dapat dijadikan acara tahunan,” katanya.

Maklumat lanjut Pesta Filem Republik Czech 2017 boleh diperoleh dengan melayari laman web GSC (www.gsc.com.my).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mac 2017 @ 5:01 AM