Kuala Lumpur: SK Properties Sdn Bhd menyarankan pemilik kediaman atau penyewa mengambil inisiatif membeli insurans kediaman bagi berdepan situasi bencana alam seperti banjir.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Saufi Karim berkata, lazimnya pihaknya bank menawarkan insurans kediaman membabitkan insurans pinjaman dan kebakaran.

Beliau berkata, bagaimanapun di Malaysia pendedahan dan kesedaran mengenai pengambilan insurans kediaman masih rendah.

“Sudah tiba masanya, masyarakat mencari inisiatif sendiri melindungi kediaman mereka, walaupun syarikat insurans tidak mempromosikan insurans kediaman untuk bencana.

“Ini kerana hanya pemilik kediaman lebih arif dengan lokasi dan keadaan rumah mereka sama ada memerlukan insurans atau pun sebaliknya.

“Jika di luar negara seperti Australia, penyewa dan pemilik kediaman ditawarkan Insurans Kandungan Rumah untuk melindungi harta benda bernilai dalam rumah,” katanya kepada Bisnes Metro.

Menurutnya, ramai pemilik rumah tidak mengambil insurans kediaman kerana tidak mahu menambahkan kos perbelanjaan bulanan mereka.

Saufi berkata, insurans kediaman perlu diambil pemilik sebagai persediaan menghadapi bencana atau sebarang perkara yang tidak diingini berlaku.

“Setiap perlindungan insurans mempunyai polisi dan syarat berbeza, oleh itu pemilik kediaman perlu mencari produk paling sesuai dengan kewangan dan risiko kediaman terbabit.

“Selain pemilik, penyewa juga boleh mengambil insurans perlindungan untuk barangan di dalam kediaman mereka dan hanya perlu mencari syarikat insurans atau takaful yang ada menawarkan perlindungan berdasarkan keperluan kita,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 January 2015 @ 5:07 AM