Keadaan banjir yang masih kritikal melanda beberapa negeri di pantai timur dan utara negara ketika ini menimbulkan beberapa isu termasuk pengisytiharan darurat yang turut dikaitkan dengan urusan tuntutan insurans.

Saya banyak menerima soalan berkaitan isu darurat yang dikatakan tidak dapat diisytiharkan supaya mangsa banjir dapat membuat tuntutan insurans.

Ia dikatakan sekiranya darurat diisytiharkan maka syarikat insurans berhak menolak tuntutan dibuat.

Pada pandangan saya, memang benar dalam kebanyakan polisi seperti insurans kenderaan, perniagaan, bangunan dan kemalangan meletakkan darurat sebagai satu situasi dikecualikan untuk dibuat tuntutan.

Namun, mengikut pengalaman saya, majoriti pelanggan jarang mengambil perlindungan tambahan bencana banjir yang membolehkan mereka membuat tuntutan jika kerosakan berlaku akibat banjir.

Maka, sama ada diisytihar darurat atau tidak, majoriti pengguna memang tidak dapat membuat tuntutan kerana tidak mengambil insurans bagi perlindungan banjir.

Sekiranya darurat diisytihar pada hari ini, mangsa banjir masih boleh membuat tuntutan kerana kerosakan berlaku sebelum darurat diisytiharkan.

Maka, dalam hal ini, syarikat insurans atau takaful dan ejen boleh memaklumkan kepada pelanggan supaya meletakkan tarikh berlaku kerosakan sebelum tarikh darurat diisytiharkan.

Situasi sekarang sangat genting memandangkan majoriti yang terbabit dalam kalangan orang kampung atau mereka yang kurang berkemampuan dan membabitkan kehilangan nyawa.

Menjadikan alasan insurans sebagai penghalang darurat diisytiharkan bukanlah tindakan terbaik kerana nyawa majoriti rakyat lebih penting berbanding kerosakan bangunan atau kenderaan untuk tuntutan insurans.

Statistik menunjukkan kadar penembusan takaful hanya sekitar 15 peratus saja dalam kalangan rakyat Bumiputera dan majoriti penduduk Kelantan adalah Melayu Bumiputera.

Bagaimanapun, situasi dinyatakan hanya membabitkan polisi takaful am seperti insurans kereta, insurans rumah dan insurans bangunan. Polisi takaful individu, takaful keluarga atau insurans hayat tiada sebarang isu tuntutan sekiranya darurat diisytiharkan disebabkan banjir.

Untuk perlindungan bencana seperti banjir bagi rumah atau bangunan, ia dipanggil takaful pemegang rumah (householder) dan pemilik rumah (houseowner).

Untuk takaful pemegang rumah, ia akan melindungi barangan dan perkakasan dalam kediaman berkenaan seperti barangan berharga, perabot dan wang. Manakala, takaful pemilik rumah pula akan melindungi struktur bangunan itu sendiri seperti pintu, dinding, lantai dan atap.

Kadar premiumnya hanya sekitar 0.106 peratus daripada jumlah perlindungan. Sebagai contoh, sekiranya rumah berkenaan dinilai dengan harga RM100,000, maka kadar premiumnya hanya RM116 termasuk RM10 bagi duti setem.

Takaful bagi kategori ini meliputi 12 perkara termasuk banjir, kecurian, kebakaran dan kilat.

Bagi kenderaan pula, polisi insurans kenderaan asas tidak melindungi kenderaan sekiranya terbabit dalam kejadian banjir. Pelanggan perlu mendapatkan perlindungan tambahan dengan caruman perlu ditambah 0.5 peratus daripada harga perlindungan kenderaan.

Sebagai contoh, jika jumlah perlindungan RM10,000 maka pencarum perlu menambah RM50 ke atas jumlah keseluruhan caruman.

Bagi mereka yang memiliki takaful atau insurans bagi perlindungan banjir, mereka hanya perlu mengemukakan gambar kerosakan. Selepas permohonan tuntutan dibuat, syarikat takaful akan menghantar penilai ke tempat kejadian untuk membuat penilaian kerosakan. Bukti lain yang mungkin diperlukan adalah kad pengenalan pemilik dan geran pemilikan.

Bagi pemegang polisi individu, takaful keluarga atau insurans hayat, mereka tidak terkesan sama ada pengisytiharan darurat dibuat atau tidak. Sebarang musibah dilindungi seperti kematian atau kemasukan ke hospital akan dilindungi sebagaimana dinyatakan dalam polisi.

Penulis ialah Perunding Kewangan Bertauliah IFP di INFAQ Consultancy & Advisory

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 29 Disember 2014 @ 5:06 AM