Kuala Lumpur: Syarikat penerbangan premium jarak dekat Malaysia, Firefly, melancarkan promosi tahun baru untuk destinasi dalam negara pada harga inklusif serendah RM50 sehala.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ignatius Ong berkata, promosi jualan ‘Now That’s What I Call Flying’ bermula 5 Januari 2015 hingga 18 Januari 2015, untuk perjalanan mulai 19 Januari ini.

“Tiket untuk destinasi antarabangsa Firefly juga ditawarkan pada harga promosi bermula RM105, untuk destinasi yang meliputi Singapura, Krabi, Phuket dan Koh Samui.

“Kami memulakan semangat tahun baru dengan menawarkan rakyat Malaysia dan pelancong pilihan perjalanan dalam negara untuk menikmati musim panas menerusi pelbagai perkhidmatan baru yang kami tawarkan,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Sementara itu, pusat pengumpulan sumbangan Firefly di Terminal Subang Skypark ditutup sementara sehingga hari ini dan akan dibuka semula pada 4 Januari 2015.

Sebuah lagi pusat pengumpulan di Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang juga ditutup sementara dari 3 hingga 6 Januari, 2015 dan dijangka beroperasi pada 7 Januari. Semua pusat termasuk di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra ditutup sementara pada jam 5 petang, 9 Januari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 3 January 2015 @ 5:04 AM