Sebahagian wakil ejen pelancongan dan media yang mengunjungi Koh Samui, Thailand anjuran Firefly.
Sebahagian wakil ejen pelancongan dan media yang mengunjungi Koh Samui, Thailand anjuran Firefly.

Georgetown: Firefly Sdn Bhd menyasarkan peningkatan penumpang antara 10 hingga 15 peratus tahun ini, selepas mencatatkan kenaikan jumlahnya sejak dua tahun lalu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ignatius Ong berkata, peningkatan penumpang dilihat satu anjakan positif apabila 1.7 juta penumpang direkodkan pada 2013 dan meningkat kepada 2.2 juta tahun lalu menyebabkan mereka meletakkan sasaran realistik pada tahun ini.

Beliau berkata, pakej pelancongan ke Koh Samui, Thailand adalah penyumbang kepada kenaikan berkenaan selepas Firefly menyediakan perkhidmatan penerbangan terus dari Pulau Pinang ke Koh Samui dan Subang ke Koh Samui sejak 2007.

“Penerbangan terus tiga kali seminggu antara Pulau Pinang ke Koh Samui dan Subang ke Koh Samui mendapat sambutan menggalakkan, sekali gus merekodkan pertambahan jumlah penumpang setiap tahun ke Thailand, selain ke destinasi lain seperti Krabi dan Phuket.

“Firefly berkerjasama dengan Lembaga Pelancongan Thailand (TAT) untuk mempromosikan Koh Samui sebagai destinasi utama pelancongan dan turut mendapat permintaan khususnya kepada bakal pengantin baru,” katanya pada sidang media di sini, baru-baru ini.

Hadir sama, Naib Presiden Jualan Firefly Pulau Pinang Audrey Yu Siew Hwa.

Ong berkata, permintaan terhadap pakej perkahwinan dan bulan madu tidak hanya tertumpu kepada pelancong tempatan, malah luar negara yang ingin bercuti ke Kuala Lumpur dan Pulau Pinang sebelum menyambung percutian ke Koh Samui.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Mei 2015 @ 6:14 AM