KOMBINASI gaya untuk pencinta sniker tegar.
KOMBINASI gaya untuk pencinta sniker tegar.
Shuhada Mansor


Mungkin hal biasa kalau kita lihat lelaki gilakan sniker. Tapi jangan terkejut ada juga perempuan menjadi pengumpul tegar koleksi kasut sniker pelbagai jenama.

Hakikatnya, perempuan lebih versatil untuk mencuba pelbagai stail berbeza walaupun ada antara pakaian yang dikenakan berciri maskulin. Contohnya pakaian lengkap sut dipadankan dengan sniker.

Namun, kombinasi warna dan padanan perlu sesuai. Jangan pula terlalu ingin mencuba hingga anda tidak sedar diri kelihatan seperti mangsa fesyen. Jangan sesekali padankan selipar jepun (flit-flops) dengan dress formal berkilau, sudah pasti penampilan akan nampak hodoh serta-merta.

Beberapa trend hipster yang kekal relevan hingga ke hari ini penulis senaraikan di sini. Ini sebagai idea anda tukar gaya sehari-hari.

LIPAT HUJUNG SELUAR

Ada yang berpendapat, antara perkara ‘wajib’ dibuat jika anda menggayakan sniker bersama seluar jean, perlulah melipat hujung bawah seluar. Digulung sedikit hingga paras buku lali untuk memperlihatkan keseluruhan bentuk kasut. Barulah cun!

Seelok-eloknya, seluar dipakai jangan terlalu labuh. Sebaik-baiknya pakai seluar jenis skinny, untuk lebih santai padankan ‘oversize t-shirt’. Namun jika anda memakai seluar flare, tidak perlu lagi melipat kaki seluar kerana ia sudah kelihatan sempurna.

Banyak seluar denim dicipta dengan bawah lipatan berwarna-warni. Luaskan kreativiti dan cuba eksperimentasi dengan pelbagai warna dalam satu gaya. Tapi perlu diingat jangan yang terlalu ‘caca marba’.

PILIH YANG KLASIK

Banyak model kasut di pasaran sama ada berciri moden atau klasik boleh digayakan. Paling baik, pilih yang klasik kerana ia mampu mencipta karakter berbeza untuk penampilan anda.

Sniker sendiri bukanlah kasut jenis formal. Cubalah bermain dengan rekaan klasik untuk tonjolkan ciri bersahaja.

Elakkan ‘try hard’. Jangan terlalu yakin untuk untuk mencipta identiti sendiri dengan menggayakan skirt sehingga anda kelihatan seperti kerani pejabat era 80-an. Paling penting, elakkan padanan sniker dan skirt ketat potongan ‘pensel’.

Banyak lagi idea boleh anda cari terutama di media sosial. Selebriti tanah air bahkan luar negara sering menggayakan stail santai dengan sniker. Berstatus remaja, kita patut cuba fesyen terkini tapi pada masa sama jangan terlalu ‘over’. Ingat, sering bergaya dengan sniker tak semestinya tomboi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 4 Mac 2017 @ 5:03 AM