RAJA Salman melambai ketika menaiki pesawat selepas lawatan negara selama empat hari di Malaysia. FOTO Asyraf Hamzah
RAJA Salman melambai ketika menaiki pesawat selepas lawatan negara selama empat hari di Malaysia. FOTO Asyraf Hamzah
Mohd Husni Mohd Noor


Sepang: Lawatan Raja Arab Saudi Raja Salman Abdulaziz Al-Saud ke Malaysia empat hari lalu disifatkan sebagai cukup berjaya.

Menteri Pertahanan Datuk Hishammuddin Hussein berkata, beliau melihat Raja Salman begitu selesa sepanjang berada di negara ini dan apa (perjanjian dan pelaburan) yang diumumkan ketika lawatan itu juga boleh dianggap sebagai satu sejarah.

Beliau berkata, beliau turut melihat hubungan antara Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan Raja Salman juga erat dan percaya lawatan itu akan membuka era baru hubungan dua hala kedua-dua negara.

"Saya juga percaya setiap menteri Kabinet sudah dipertanggungjawabkan untuk melihat setiap perkara yang dipersetujui sepanjang lawatan itu bagi memastikan momentum hubungan kedua-dua negara dapat diteruskan," katanya ketika ditemui selepas mengiringi keberangkatan pulang Raja Salman di Komplek Bunga Raya KLIA di sini hari ini.

Katanya, beliau turut mengesahkan hubungannya dengan rakan sejawat Timbalan Putera Mahkota Mohammad Ibn Salman al Saud juga berada pada tahap baik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 1 Mac 2017 @ 2:21 PM