AHMAD Najmi (tengah) ketika memperkatakan sesuatu kepada skuad kebangsaan.
AHMAD Najmi (tengah) ketika memperkatakan sesuatu kepada skuad kebangsaan.
Oleh Saiful Affendy Sapran


PINTU tidak pernah tertutup kepada mana-mana pemain terutama pasangan adik-beradik, Faizal dan Fitri Saari untuk kembali membarisi skuad kebangsaan.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Pasukan Kebangsaan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC), Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak menegaskan, hanya jurulatih mengetahui punca sebenar mengapa satu-satu pemain itu digugurkan walaupun mereka adalah pemain berstatus bintang.

"Bagi saya baik Faizal, Fitri atau mana-mana pemain pun, peluang sentiasa terbuka kepada mereka untuk kembali bersama skuad kebangsaan.

"Selagi mana seseorang pemain itu mempunyai keazaman dan keinginan tinggi untuk berkhidmat, selagi itu peluang masih ada untuk mereka. Segala-galanya terpulang kepada mereka sendiri.

"Tapi keputusan muktamad adalah atas budi bicara jurulatih kerana mereka lebih mengetahui mengapa seseorang pemain itu dipilih atau digugurkan," katanya.

Keputusan menggugurkan kedua-dua pemain utama itu daripada menyertai kem latihan skuad kebangsaan oleh ketua jurulatih, Roelant Oltmans pada Februari lalu sehingga kini masih menjadi perbualan.

Dengan rekod gah dan dilabel antara penyerang terbaik di Malaysia serta Asia, pengguguran Faizal pastinya satu kejutan, tidak kurang juga Fitri yang sememangnya antara arkitek terbaik di bahagian tengah.

Melakukan 247 penampilan dengan 170 gol sejak 2009, ia bukan rekod 'biasa-biasa' bagi Faizal yang satu ketika digelar budak nakal kerana masalah disiplin, namun dia semakin matang dan prestasinya tidak pernah mengecewakan di atas padang.

Baik Faizal dan Fitri, kedua-duanya adalah nadi utama skuad kebangsaan sejak 10 tahun lalu serta sudah beraksi di semua pentas antarabangsa kecuali Sukan Olimpik.

Selain gandingan adik beradik itu, antara pemain utama yang turut digugurkan adalah kapten skuad negara, Sukri Abdul Mutalib, Nabil Fiqri Mohd Noor dan Joel Van Huizen.

Selepas pembatalan kejohanan Piala Sultan Azlan Shah pada tahun ini susulan pandemik Covid-19, skuad negara dijangka beraksi pada saingan Trofi Juara-Juara Asia di Dhaka, Bangladesh, November depan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Mei 2020 @ 6:20 AM