GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


Kuala Lumpur: Pengurus besar sebuah anak syarikat milik Prasarana ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas disyaki menyalahgunakan kedudukannya dan mengambil wang rasuah untuk kepentingan peribadi.

Suspek yang berusia 54 tahun itu ditahan bersama isterinya yang berumur 50 tahun di ibu pejabat Project Technical Support Rapid Cheras Selatan pada 6.30 petang hari ini.

Menurut sumber, hasil siasatan awal mendapati suspek menerima wang rasuah bagi meluluskan beberapa projek pembekalan bas, alat ganti bas dan pembaikan bas.

"Suspek dipercayai sudah mengambil wang rasuah kira-kira RM500,000 sejak 2013 menerusi beberapa projek yang dilaksanakan atas penyeliaannya.

"Wang rasuah yang diterima juga dimasukkan ke dalam akaun milik isterinya sejak 2013," katanya.

Sumber berkata, suspek juga pernah bertugas sebagai Ketua Pegawai Operasi Rapid Penang yang juga anak syarikat Prasarana.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009 yang mana jika disabitkan kesalahan akan berdepan hukuman penjara 20 tahun dan denda sehingga lima kali ganda nilai suapan," katanya.

Sementara itu, Pengarah Siasatan SPRM Datuk Simi Abd Ghani berkata, kedua-duanya akan direman esok bagi membantu siasatan kes.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 Mei 2017 @ 10:42 PM