Saiful Affendy Sapran

Kuala Lumpur: Musim depan disifatkan sebagai penting buat pelumba negara Zulfahmi Khairuddin kerana ia bakal menentukan ke mana hala tujunya pada 2018 nanti.

Bakal kekal beraksi di Kejuaraan Superbike Dunia (WSBK) bersama pasukan Orelac Racing, Ketua Pegawai Eksekutif Litar Antarabangsa Sepang (SIC) Datuk Razlan Razali berkata, pelumba kelahiran Banting, Selangor itu disasarkan untuk berada di kedudukan lima terbaik kategori Supersport.

Jika ia mampu dicapai, Razlan berkata, usaha akan dilakukan bagi membawanya kembali beraksi di Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) dalam kategori Moto2.

“Jika tidak, tahun depan mungkin tahun terakhir kami menaja Zulfahmi kerana sudah sekian lama kami menajanya iaitu sejak 2009.

“Jadi saya amat berharap Zulfahmi dapat menggunakan peluang ini sebaik-baiknya untuk membolehkannya beraksi di Moto2 pada 2018,” katanya.

Jelas Razlan, kedudukan kelima terbaik keseluruhan adalah satu sasaran yang realistik untuk Zulfahmi.

“Musim lalu, walaupun berdepan beberapa masalah jentera, dia masih mampu berada di kedudukan ke-11 keseluruhan.

“Bagi saya, jika dia benar-benar berusaha, sasaran itu pasti akan dapat dicapai,” katanya.

Razlan berkata, meskipun penajaan untuk Zulfahmi pada musim depan belum dimuktamadkan sepenuhnya, namun beliau yakin pihak pengurusan kanan SIC akan bersetuju untuk terus menaja Zulfahmi.

“Sebab kita sudah tidak lagi menganjurkan WSBK di Sepang dan kos tajaan untuk Zulfahmi juga tidaklah begitu membebankan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 24 Disember 2016 @ 5:52 AM