ahkamah Khas Reman Johor Bahru membenarkan permohonan reman selama tujuh hari terhadap empat pegawai agama Johor yang ditahan kerana salah guna kuasa dan menerima suapan. FOTO Mohd Azren Jamaluddin
ahkamah Khas Reman Johor Bahru membenarkan permohonan reman selama tujuh hari terhadap empat pegawai agama Johor yang ditahan kerana salah guna kuasa dan menerima suapan. FOTO Mohd Azren Jamaluddin
Izlaily Nurul Ain Hussein


Johor Bahru: Empat pegawai agama Johor yang ditahan Suhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam direman selama tujuh hari bermula hari ini.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Salina Omar bagi membenarkan SPRM menjalankan siasatan lanjut mengikut Seksyen 16 (a)(b) dan Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 terhadap semua suspek.

Dua pegawai kanan Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) berusia 55 dan 40 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Johor, semalam ketika hadir memberi keterangan berhubung siasatan yang dijalankan ke atas mereka.

Siasatan awal mendapati kedua-dua suspek menyalahgunakan kedudukan mereka di Bahagian Undang-undang Syariah JAINJ dengan meluluskan permit penganjuran kursus pra perkahwinan Islam tanpa melalui prosedur.

Mereka dipercayai meluluskan permit penganjuran kursus pra perkahwinan Islam menerusi Badan Kebajikan & Sukan yang ditubuhkan Bahagian Undang-undang Syariah JAINJ sejak 2015 hingga 2016 dengan kutipan bayaran peserta kursus berjumlah kira-kira RM130,000 yang dimasukkan ke dalam akaun badan itu.

Selain itu, duit itu juga disyaki disalahgunakan untuk ahli-ahli mengerjakan umrah, melancong ke luar negara dan lain-lain aktiviti yang bersifat peribadi.

Dalam kes berasingan, dua pegawai kanan Pendidikan Agama Daerah Johor Bahru dan negeri semalam, ditahan SRPM kerana disyaki menerima wang rasuah daripada sebuah syarikat percetakan buku yang mencetak buku bagi Sekolah Agama Rakyat Negeri Johor.

Kedua-duanya yang berusia 45 dan 55 tahun masing-masing ditahan selepas disyaki menerima wang rasuah daripada sebuah syarikat pencetak buku sebagai balasan memberi projek mencetak buku dan kitab Sekolah Agama Rakyat yang dianggarkan bernilai RM5 juta sejak 2015 sehingga sekarang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Februari 2017 @ 7:39 PM