Ladang pertanian milik Mohd Fahmi Ramli musnah ditenggelami air banjir ketika tinjauan sekitar Hulu Langat. FOTO AIZUDDIN SAAD
Ladang pertanian milik Mohd Fahmi Ramli musnah ditenggelami air banjir ketika tinjauan sekitar Hulu Langat. FOTO AIZUDDIN SAAD
BERNAMA

Alor Gajah: Sektor agromakanan negara dianggarkan mengalami kerugian kira-kira RM67.72 juta membabitkan 5,500 pengusaha sektor berkenaan yang terdiri daripada penternak, peladang dan pesawah, akibat bencana banjir yang berlaku di beberapa negeri baru-baru ini.

Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I Datuk Seri Ahmad Hamzah berkata daripada jumlah itu, sektor agromakanan di Melaka dianggarkan mengalami kerugian kira-kira RM2.83 juta membabitkan 275 penternak, peladang dan pesawah.

Beliau berkata nilai kerosakan atau kerugian yang dialami pengusaha sektor agromakanan itu dijangka akan terus meningkat, kerana masih terdapat kawasan yang belum pulih banjir sepenuhnya.

"Semua agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) termasuk Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) telah turun padang, untuk meninjau dan membuat penilaian kerugian atau kerosakan yang dialami penternak, peladang dan pesawah akibat banjir di kawasan terjejas.

"Nilai kerosakan setakat ini dibuat secara rambang dan ia dijangka akan terus meningkat setelah penilaian atau perkiraan dilakukan secara teliti," katanya kepada pemberita selepas Program Menyantuni Wira Agro anjuran LPP Melaka di Kampung Gadek di sini, hari ini.

Turut hadir Ketua Setiausaha Mafi Datuk Haslina Abdul Hamid dan Ketua Pengarah LPP Datuk Azulita Salim.

Ahmad berkata kerajaan menerusi Mafi menyediakan pelbagai bantuan dan peruntukan untuk membantu golongan berkenaan, dalam usaha meringankan beban kerugian dialami mereka.

Beliau berkata antara peruntukan berkenaan ialah Dana Bangkit Semula Keluarga Agro berjumlah RM100 juta kepada golongan pengusaha sektor agromakanan yang terjejas akibat banjir.

"Kita juga menyediakan peruntukan Pembangunan Semula Projek Agro Makanan berjumlah RM80 juta selain Tabung Bencana Tanaman Padi berjumlah RM12 juta, bagi membantu mereka yang terkesan.

"Selain itu, Jabatan Pertanian, Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan LPP telah menyampaikan sumbangan berupa bakul makanan, set selimut dan toto serta input makanan ternakan melalui inisiatif Mafi Prihatin," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 January 2022 @ 7:36 PM