ANGGOTA polis menahan beberapa suspek melakukan aktiviti tidak bermoral dalam satu operasi khas Ops Noda, di sekitar Kota Kinabalu. FOTO Ihsan PDRM
ANGGOTA polis menahan beberapa suspek melakukan aktiviti tidak bermoral dalam satu operasi khas Ops Noda, di sekitar Kota Kinabalu. FOTO Ihsan PDRM
Junaidi Ladjana


KEGIATAN pelacuran yang bersembunyi di sebalik premis pusat urut, hotel dan bilik sewa terbongkar dalam dua Operasi Khas Pembanterasan Elemen Pelacuran di sekitar Kota Kinabalu, malam Selasa lalu.

Serbuan 9 malam itu dijalankan Bahagian Perjudian, Maksiat dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu yang menahan 10 wanita dan dua lelaki disyaki pelacur dan penjaga premis.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner M Chandra, berkata pasukan serbuan menjalankan operasi ke atas dua sasaran yang dikenal pasti bergiat aktif menjalankan aktiviti pelacuran.

"Serbuan pertama di premis pusat urut atau refleksologi yang tidak memiliki lesen perniagaan di Bandaran Berjaya. Hasil serbuan, menahan tiga wanita tempatan sebagai pekerja dan seorang lelaki disyaki penjaga premis.

"Selain itu, polis merampas satu alat menyerupai kemaluan lelaki," katanya di sini, semalam.

Chandra berkata, serbuan kedua di hotel dan bilik sewa di kawasan apartment Api-Api Centre kerana disyaki berlaku aktiviti pelacuran yang dijalankan wanita tempatan dan warga asing.

"Hasil serbuan, polis menahan enam wanita termasuk tiga rakyat tempatan, seorang lelaki tempatan dan wanita warga Filipina yang disyaki penjaga dan perancang kegiatan pelacuran itu.

"Polis juga menahan empat lelaki kerana disyaki positif dadah dan merampas beberapa kondom dan lapan telefon bimbit," katanya.

Chandra berkata, semua tangkapan berusia 16 hingga 40 tahun bersama barang rampasan dibawa ke IPD Kota Kinabalu untuk siasatan lanjut.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 372 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 373 KK, Seksyen 372A KK dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Mac 2018 @ 11:18 AM