Mohd Ruzaini Zulkepli


Kota Kinabalu: Polis merampas dadah jenis syabu seberat 1.2 kilogram (kg) bernilai RM156,000 dengan tertangkapnya tiga lelaki tempatan dalam dua serbuan berasingan di daerah ini, pada Rabu dan semalam.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner M Chandra berkata, suspek pertama berusia 50 tahun ditahan di sekitar Jesselton Point, Kota Kinabalu, 10.10 pagi, Rabu lalu bersama tujuh paket plastik berisi syabu.

“Susulan itu, kami menahan dua lagi lelaki yang juga rakan jenayah suspek pertama di kawasan Api-Api Centre dan Kompleks Karamunsing pada keesokan harinya.

“Penahanan dua suspek terbabit membawa kepada penemuan 13 paket plastik syabu,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu di sini, hari ini.

Menurut Chandra, pihaknya turut merampas wang tunai RM43,000, sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) Toyota Vellfire, sebuah Toyota Vios dan sebuah basikal daripada ketiga-tiga suspek.

“Penahanan kesemua suspek membolehkan kami melumpuhkan kegiatan satu sindiket dadah yang aktif di Kota Kinabalu sejak pertengahan 2015,” katanya.

Kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 18 November 2016 @ 11:25 AM
CHANDRA (tengah) bersama dadah yang dirampas pada sidang media di IPD Kota Kinabalu, hari ini. FOTO Mohd Ruzaini Zulkepli
CHANDRA (tengah) bersama dadah yang dirampas pada sidang media di IPD Kota Kinabalu, hari ini. FOTO Mohd Ruzaini Zulkepli