SEMUA mangsa ditemui kira-kira 4 batu nautika dari lokasi terakhir dipercayai hilang.
SEMUA mangsa ditemui kira-kira 4 batu nautika dari lokasi terakhir dipercayai hilang.
Ardyhansah Amat


Kota Kinabalu: Semua sembilan nelayan dan tiga anak kapal yang dilaporkan hilang kelmarin, berjaya ditemui di perairan Pulau Mantanani, Kota Belud, dekat sini, hari ini.

Pengarah Maritim Wilayah Sabah dan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zubil Mat Som berkata, semua mangsa ditemui selamat pada 10.05 pagi tadi.

"Semua mangsa selamat ditemui di perairan yang sama kira-kira 4 batu nautika dari lokasi terakhir mereka dipercayai hilang.

"Mereka kini dalam perjalanan pulang ke Sepanggar dan bot mereka ditunda Kapal Diraja (KD) Paus diiringi Kapal Maritim (KM) Memmon," katanya kepada media, hari ini.

Sebelum itu, pemilik bot mendakwa, kumpulan pemancing itu keluar memancing pada 10 Disember lalu dari jeti pancing Kota Kinabalu dan dijangka pulang semalam.

Mereka sempat menghubungi pemilik bot bagi memaklumkan kerosakan kotak gear bot pada petang kelmarin pada kedudukan kira-kira 21 batu nautika barat laut Pulau Mantanani.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 13 Disember 2016 @ 1:01 PM