Riyadh: Raja Abdullah, 91, (gambar) dimasukkan ke hospital semalam untuk ‘pemeriksaan perubatan.’

Raja Saudi itu, dengan usianya yang sudah lanjut dan sering keluar masuk hospital mencetuskan kebimbangan mengenai masa depan pucuk kepemimpinan negara pengeluar minyak utama negara itu.

Beliau dimasukkan ke hospital Bandar Perubatan King Abdulaziz di Riyadh, menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh agensi berita rasmi negara itu, SPA.

Adik tirinya, Salman, 77, bakal mewarisi takhta. Beliau dilantik putera mahkota pada Jun 2012 berikutan kematian Putera Nayef bin Abdul Aziz.

Salman sering kali mewakili raja di majlis awam, termasuk yang terbaru, sidang kemuncak negara Teluk di Qatar bulan lalu.

Ketiadaan raja di tempat awam sejak kebelakangan ini mencetuskan khabar angin di media sosial bahawa kesihatannya semakin teruk.

Beliau menjalani dua pembedahan pada Oktober 2011 dan November 2012 untuk membetulkan ligamen pada belakang badannya.
- Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 January 2015 @ 5:05 AM