ANTARA produk yang diperkenalkan.
ANTARA produk yang diperkenalkan.
SESI demonstrasi solekan yang ringkas dan mudah.
SESI demonstrasi solekan yang ringkas dan mudah.
Hajahfarhana Tarmudi


Trend gaya solekan wanita Korea memang digilai ramai kerana mampu menampilkan wajah yang segar, tampak semula jadi dan paling penting menonjolkan keceriaan.

Justeru, pilihan warna yang digunakan dalam alat solekan sangat memainkan peranan penting untuk memastikan ciri solekan bak wanita Korea itu ditampilkan pada gaya seharian mahupun ke majlis tertentu.

Penolong Pengurus Bahagian Perniagaan Global Chochos Factory Kristin Ko berkata, terdapat perbezaan ketara antara gaya solekan wanita Malaysia dengan Korea.

“Dua perkara utama dalam gaya solekan wanita Korea ialah mementingkan wajah semula jadi dan tampak muda. Justeru, penggunaan warna yang lebih ceria dipilih pada setiap alat solek untuk tampak lebih muda berbanding usia sebenar.

“Bukan itu saja, solekan juga mesti tampak semula jadi. Misalnya, lukisan pada kening yang tidak dibentuk nipis sebaliknya hanya mewarnakan kening sedia ada, namun tidak kelihatan keterlaluan.

“Bagi wanita yang mahu kelihatan lebih muda, sebaik-baiknya amalkan sapuan pemerah pipi mengikut garisan tulang pipi bermula dari paras atas hidung hingga ke tepi pipi,” katanya.

Ujarnya, bagi menonjolkan bentuk bibir yang menarik, namun kekal semula jadi dengan menyapu gincu di bahagian dalam bibir saja.

Kristin yang diterbangkan khas dari Korea itu ditemui dalam majlis pengumuman pelancaran jenama kosmetik utama Korea, Chosungah22 yang boleh didapati secara eksklusif di rangkaian stor Sasa.

Berasaskan prinsip ‘solekan mesti ringkas dan menyeronokkan’, Chosungah22 membawa inovasi baru dalam industri kecantikan dan fesyen untuk memperkenalkan kaedah mudah dalam solekan.

Berbanding hanya digunakan untuk menutup kelemahan wajah semata-mata, Chosungah mahu menjadikan solekan proses menyeronokkan untuk mencari kekuatan dalam diri.

“Jenama ini mendapat nama sempena jurusolek artis, Chosungah yang dikaitkan dengan pengalamannya dalam dunia solekan selama 22 tahun.

“Pada masa sama, alasan wanita yang mahu sentiasa kelihatan seperti pada usia muda menganggap umur 22 adalah waktu terbaik untuk mengalami saat itu,” katanya.

Ujarnya, penggunaan pilihan warna yang ceria diutamakan seperti merah jambu dan oren untuk menonjolkan gaya lebih muda. Solekan bukan untuk menutup kelemahan dimiliki sebaliknya mampu menyerlah kecantikan dari dalam jika menemui kaedah yang betul.

Formula unik digemari ramai

Antara kebanyakan rangkaian barangan kecantikan jenamanya, Fresh Mix C&T Blender with SPF30++, Dong Gong Minn Brow Maker, Jell-O Color Kit dan Dual Lip Tint & Gloss yang paling laris.

Fresh Mix C&T Blender with SPF30++ ialah produk ikonik jenama berkenaan membantu memberi perlindungan kulit wajah secara menyeluruh dalam tempoh yang panjang. Bedak asas pelbagai fungsi ini dirumus dengan campuran segar yang memberikan bahan terbaik.

Ia diadun rata di dalam bungkusan botol apabila butang ditekan sebelum boleh disapu pada wajah untuk kesan wajah yang lebih mulus di samping melembapkan kulit.

Melukis kening menjadi lebih mudah dengan penggunaan Dong Gong Minn Brow Maker dengan sentuhan yang ringkas untuk penampilan semula jadi.

Didatangkan dengan kemasan warna kusam (matte), kit pembayang mata Jell-O ini membantu memudahkan si pemakai memadankan gaya solekan dengan tema diinginkan.

Pembayang mata yang dicipta dengan kilauan memukau itu sesuai digayakan oleh semua ton kulit kerana ia mudah diadun dengan rona pilihan yang didatangkan dalam satu bungkusan.

Selain itu, pilihan Dual Lip Tint & Gloss pula memudahkan si pemakai menggayakan bibir yang lembap dan segar kerana ia menampilkan gincu serta pengilat bibir dalam satu botol.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Ogos 2016 @ 2:09 PM