TOOWOOMBA Topped Sirloin.
TOOWOOMBA Topped Sirloin.
HIDANGAN Outback Special.
HIDANGAN Outback Special.
OUTBACK Steakhouse.
OUTBACK Steakhouse.
Oleh Intan Mas Ayu Shahimi

Melihat gambar hidangan Toowoomba Topped Sirloin dengan limpahan udang berkrim diatasnya yang dimuat turun Outback Steakhouse di laman Facebook saja sudah membuatkan penulis terliur, inikan pula menikmatinya.

Dek kerana teringin merasai sendiri keenakan hidangan istimewa Barat itu, penulis terus memandu ke cawangan Outback Steakhouse di aras bawah kompleks beli-belah NU Sentral, KL Sentral.

Senyuman makin lebar sebaik menu dipesan tiba. Ternyata gambar dilihat sama dengan apa yang disajikan dan rasanya juga cukup lazat.

Daging batang pinang dengan 17 rempah rahsia di masak sempurna dan dihidang lengkap bersama sos krim tomato udang serta cendawan butang.

Aroma yang terbit daripada gabungan rempahnya membuatkan penulis sukar membayangkan betapa lembut dan enaknya rasa daging sebaik ia menyentuh deria.

Apa yang pasti, majoriti penggemar stik yang mencuba hidangan Barat di sini pulang dengan senyuman puas.

Menurut Ketua Pemasaran Outback Steakhouse Asia Tenggara, Dilip Krishnan, cawangan di NU Sentral adalah yang kedua di Malaysia selepas Bukit Bintang.

"Restoran ini memuatkan 150 tempat duduk dengan persekitaran tenang dan mewah, sesuai dengan kehendak pelanggan.

"Setiap menu di sini disediakan sendiri chef menggunakan bahan segar bagi menjaga kualiti dan keenakan sajian," katanya.

Tambahnya, hidangan stik di Outback memiliki rasa berbeza berbanding kebanyakan restoran kerana diadun dengan 17 rempah rahsia.

"Menu di restoran ini dirancang teliti supaya menepati prinsip 'Big, Bold, Fresh Flavours' yang dicanang di rangkaian Outback seluruh dunia.

"Paling penting, kita menggunakan bahan premium dengan tawaran harga sederhana kepada pelanggan," katanya.

Meneliti menu disediakan Outback Steakhouse, penulis tertarik dengan tiga konsep diketengahkan iaitu Regular Dinner, Lunch Special dan Limited Time Offer.

Kata Dilip, Regular Dinner menawarkan pilihan stik daging, ayam, kambing, makanan laut, pasta dan salad segar.

"Bagi Isnin hingga Jumaat (waktu bekerja), kita tawarkan menu Lunch Special yang lebih ringkas dan enak dengan harga serendah RM17.90.

"Kami mahu semua orang dapat menikmati keenakan sajian di Outback Steakhouse, termasuk ketika sibuk mengejar rutin harian," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 1 January 2015 @ 5:00 AM